Pemaju, PBT perlu selesai isu banjir, kata penduduk Bandar Bukit Raja

Pemaju, PBT perlu selesai isu banjir, kata penduduk Bandar Bukit Raja

Wakil penduduk Zulkifli Othman berkata kedua-dua pihak saling menuding apabila banjir berlaku.

Zulkifli Othman
Zulkifli Othman berkata pendekatan antara PBT perlu memandangkan air mengalir dari Setia Alam di Shah Alam ke Bandar Bukit Raja dan kedua-dua lokasi bawah majlis yang berasingan.
SHAH ALAM:
Penduduk Bandar Bukit Raja, Klang, menggesa kerajaan Selangor menyelaraskan majlis tempatan dan pemaju hartanahnya dalam menangani isu banjir dan perparitan di kawasan itu.

Satu memorandum ditandatangani kira-kira 583 penduduk daripada 48 persatuan penduduk diserahkan kepada pejabat menteri besar hari ini oleh wakil mereka Zulkifli Othman.

“Saya amat berharap semua agensi kerajaan yang berkaitan, badan berkanun terlibat dalam pembangunan perumahan, termasuk Majlis Bandaraya Klang dan Shah Alam serta Jabatan Pengairan dan Saliran serta pemaju dapat duduk bersama untuk menangani kebimbangan ini,” kata Zulkifli kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum.

Memorandum itu mengatakan bahawa pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pemaju saling menuding apabila banjir berlaku – situasi yang menurut Zulkifli hanya boleh diselesaikan dengan campur tangan Menteri Besar Amirudin Shari.

Beliau berkata, sistem perparitan di kawasan terjejas memerlukan penambahbaikan dan empat kolam tadahan banjir cetek yang ada ‘tidak mencukupi untuk mengurangkan banjir secara berkesan’.

Zulkifli, yang merupakan presiden permuafakatan pengerusi persatuan penduduk Bandar Bukit Raja Klang, berkata pendekatan antara majlis adalah perlu memandangkan air mengalir dari Setia Alam di Shah Alam ke Bandar Bukit Raja dan kedua-dua lokasi terletak di bawah majlis tempatan yang berasingan.

Beliau berkata, memorandum yang sama sudah dihantar kepada Ahli Parlimen Klang V Ganabatirau yang berjanji untuk membangkitkan perkara itu di Parlimen.

Bandar Bukit Raja dilanda banjir kilat beberapa kali dan paling teruk pada Disember 2021 apabila paras air mencapai 3m.

Banjir kilat terbaru di kawasan itu ialah pada 24 April lalu apabila air banjir mencecah satu kaki.

Banyak permintaan dibuat kepada kerajaan negeri, termasuk meluas dan mendalamkan Sungai Puloh bagi meningkatkan kapasiti tadahan air serta memastikan air tidak melimpah apabila kawasan itu dilanda hujan lebat.

Terdapat juga gesaan agar kerajaan membina kolam tadahan banjir berhampiran Sungai Puloh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.