
Katanya, semua projek melibatkan sekolah daif di seluruh negara mengikut tempoh ditetapkan Jabatan Kerja Raya (JKR).
“Semua projek mengikut tempoh masa ditetapkan Jabatan Kerja Raya (JKR), jadi tak timbul isu ini (kelewatan naik taraf sekolah daif).
“(Sebaliknya) ia dipantau ketat, kita ada ‘dashboard’ kita untuk pantau sekolah daif ini. Insya-Allah semuanya akan kita pastikan siap mengikut garis masa yang kita tetapkan,” katanya menurut Berita Harian.
Beliau mengulas gesaan Adun Rengit Puad Zarkashi yang meminta kementerian menyerahkan dana kepada kerajaan Johor susulan kelewatan menangani sekolah daif negeri itu.
Ahad lalu, Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi, berkata 14 sekolah dikategorikan daif sudah diluluskan peruntukan untuk dibaiki, tetapi selepas tiga tahun tiada satu pun projek berjaya disiapkan.
Mengulas lanjut, Fadhlina berkata apabila kerajaan Madani mengambil alih pemerintahan, isu sekolah daif tidak pernah diselesaikan secara berfokus.
Katanya, sehingga Mac lalu, 694 sekolah daif bawah Kementerian Pendidikan berjaya disiapkan sepenuhnya, dengan 216 projek kini dalam peringkat prabina.
“Lebih 600 sekolah telah pun kita selesaikan daripada lebih 1,000 sekolah dan tinggal lebih kurang 300 lebih sahaja lagi yang tak siap.
“Kita bekerja dengan sangat pantas dengan kerjasama daripada agensi lain dan insya-Allah kita akan siapkan semua projek sebagaimana komitmen kita di peringkat persekutuan,” katanya.