Rayuan Sports Toto cabar penutupan premis Perlis tukar ke Julai

Rayuan Sports Toto cabar penutupan premis Perlis tukar ke Julai

Pihak berkaitan sedang menunggu alasan penghakiman susulan permohonan kebenaran oleh STM Lottery Sdn Bhd dan empat lagi ditolak Mahkamah Tinggi Kangar pada 11 Jan.

judi
Perayu mahu mencabar keengganan Majlis Perbandaran Kangar memperbaharui lesen premis perniagaan mereka yang membawa kepada penutupan premis ‘Sports Toto’ di Perlis. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Pemegang lesen judi dan empat lagi yang memohon untuk premis “Sports Toto” di Perlis beroperasi semula perlu menunggu selepas Mahkamah Rayuan menangguhkan rayuan mereka ke 4 Julai bagi pengurusan kes.

Penangguhan itu dibenarkan ketika pengurusan kes pada 6 Mei lalu kerana Hakim Arik Sanusi Yeop Johari yang mendengar kes itu di Mahkamah Tinggi Kangar belum mengeluarkan alasan penghakimannya.

STM Lottery Sdn Bhd dan empat individu itu merayu terhadap keengganan Arik membenarkan mereka mencabar penolakan permohonan lesen premis perniagaan, yang membawa kepada penutupan premis “Sports Toto” di negeri itu.

Jun tahun lalu, Exco Perlis memegang portfolio perumahan dan kerajaan tempatan, Fakhrul Anwar Ismail berkata kerajaan negeri Perikatan Nasional tidak akan mengeluarkan lesen premis perniagaan bagi nombor ramalan.

Perayu Leong Jenn Kiang, Chin Soo Shian, C Santha dan Yip Kok Chyun memfailkan permohonan kebenaran pada 26 Julai tahun lalu.

Mereka mendakwa notis bertarikh 27 April 2023 oleh Majlis Perbandaran Kangar tidak rasional, ultra vires kuasa yang diberikan kepada majlis itu dan kerajaan negeri serta bercanggah Perlembagaan Persekutuan.

Perayu berkata, hal berkaitan pengeluaran lesen perjudian dalam bidang kuasa undang-undang persekutuan. Kerajaan negeri didakwa “melampaui bidang kuasanya” dengan melanggar perkara itu.

Mereka mendakwa kehilangan pendapatan dan punca pencarian disekat.

“Pekerja (perayu) juga hilang atau akan hilang pekerjaan dan/atau sumber pendapatan mereka (akibat penutupan premis berkenaan),” katanya.

Perayu juga mendakwa keputusan kerajaan Perlis menjejaskan hak orang bukan Islam untuk terlibat dalam perjudian sah.

Perayu memfailkan notis rayuan pada 5 Feb lalu yang menamakan kerajaan Perlis, Menteri Besar Shukri Ramli, Fakhrul, Majlis Perbandaran Kangar dan yang dipertuanya sebagai responden bersama.

Permohonan mereka ditolak Mahkamah Tinggi 11 Jan lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.