
Sasha Lyna Abdul Latif mendakwa, kenyataan Hussein konon siasatan terhadap Azmin tiada kaitan perkara dibangkitkannya di DUN Selangor sebagai cubaan polis mengelak daripada kritikan kerana melanggar hak keistimewaan Adun.
“Pegawai penyiasat yang mengendalikan laporan tersebut telah berhubung dengan pegawai Azmin dan juga saya sebelum mengeluarkan notis bawah Seksyen 111 Kanun Prosedur Jenayah.
“Notis tersebut telah menyatakan yang masa dan tarikh kejadian seperti dalam laporan adalah pada 28 Feb 2024 jam 3.30 petang dan tempat kejadian adalah di DUN Selangor. Ini adalah fakta yang tidak dapat disangkal.
“Pegawai penyiasat tersebut juga telah beberapa kali mengesahkan kepada saya bahawa laporan dibuat adalah berkenaan kenyataan dan atau pengataan Azmin semasa beliau di sidang DUN Selangor,” katanya dalam kenyataan.
Selasa lalu, Hussein melalui kenyataan media memaklumkan ketua Perikatan Nasional Selangor dipanggil untuk membantu siasatan kebocoran dokumen, bukan mengenai perkara dibangkitkan di DUN pada 28 Feb.
Katanya, siasatan ekoran laporan oleh seorang pegawai Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor pada 14 Mac lalu, mendakwa dokumen sulit perbadanan tersebut dibocorkan dan maklumat tidak tepat didedahkan kepada umum.
Pada Isnin, Azmin berkata beliau dipanggil polis untuk memberi kenyataan berkenaan perkara dibangkitkan di DUN.
Dengan merujuk kepada Perkara 72 Perlembagaan dan Seksyen 2 dan 3 Jadual dalam Undang-undang Tubuh Negeri Selangor, Azmin mendakwa tindakan mengeluarkan notis tersebut melanggar perundangan dan tidak mengikut Perlembagaan.
Mac lalu, Azmin meminta penjelasan kerajaan negeri selepas PKNS menjual hak pembangunan PJ Sentral yang dijangka memberi pulangan bernilai RM1.04 bilion kepada Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) dengan nilai RM270 juta, menurut laporan media.
Menteri Besar Amirudin Shari dilapor berkata keputusan menjual hak pembangunan PJ Sentral adalah untuk keluar daripada ‘perangkap aliran tunai’.
Beliau menolak dakwaan prestasi kewangan PKNS kurang baik, dan PKNS juga tidak menanggung hutang RM5.7 bilion seperti didakwa sesetengah pihak.
FMT sedang mendapatkan penjelasan Hussein berhubung dakwaan Sasha.