Pearly-Thinaah tepati ramalan ke suku akhir Masters Malaysia

Pearly-Thinaah tepati ramalan ke suku akhir Masters Malaysia

Beregu wanita utama negara itu mengambil masa 23 minit untuk menewaskan wakil India Simran Singhi-Ritika Thaker 21-17, 21-11.

Beregu wanita utama negara Pearly Tan-M Thinaah menewaskan pasangan Simran Singhi-Ritika Thaker dalam perlawanan pusingan kedua Masters Malaysia 2024 di Axiata Arena, Bukit Jalil. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Beregu wanita utama negara Pearly Tan-M Thinaah menepati ramalan apabila melangkah ke suku akhir Masters Malaysia 2024 selepas menyingkirkan wakil India pada perlawanan pusingan kedua berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Pilihan kedua kejohanan itu yang juga naib juara edisi 2023 itu mengambil masa 32 minit sebelum mengetepikan pasangan Simran Singhi-Ritika Thaker 21-17, 21-11 dan dijadual berdepan Setyana Mapasa-Angela Yu dari Australia, esok.

Pada aksi hari ini, Thinaah mengakui memerlukan sedikit masa untuk ‘panas’ sebelum mendapat momentum permainan selepas kali terakhir beraksi secara kompetitif di Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2024 di Ningbo, China, pada April lepas.

“Kami sangat teruja untuk beraksi dalam kejohanan ini kerana kami sudah agak lama tidak bertanding. Pada set pertama rentak permainan kami agak perlahan tapi di set kedua, selepas perbincangan dengan jurulatih, kami tingkatkan permainan dan gembira dengan kemenangan ini.

“Kita banyak mencuba beberapa perkara baharu dalam gelanggang hari ini. Dan kita harap dapat tambah baik untuk perlawanan seterusnya,” katanya kepada pemberita.

Sementara itu Pearly turut berkongsi khabar gembira yang memaklumkan bahawa beliau kini bebas daripada kecederaan dan perlu lebih berhati-hati menjelang temasya Sukan Olimpik Paris 2024 pada Julai ini.

Wakil negara turut ke suku akhir ialah beregu campuran Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing.

Tang Jie-Ee Wei yang menewaskan gandingan India Sumeeth Reddy-Sikki Reddy akan berdepan rakan senegara Kian Meng-Pei Jing manakala Soon Huat-Shevon Lai akan membuat perhitungan dengan pilihan ketujuh dari Indonesia Rehan Naufal Kusharjanto-Lisa Ayu Kusumawati dalam perlawanan suku akhir, esok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.