
Trio negara diketuai Farhan Adam (apit kiri), Mohammad Syahir Mohd Rosdi (tekong) dan Mohamad Azlan Alias (apit kanan) membuktikan tiba masanya Malaysia kembali digeruni, selepas mendominasi sebahagian besar permainan selama sejam menewaskan musuh tradisi yang juga juara bertahan 15-8 dan 15-12.
Kemenangan dilakar itu sekali gus menebus kekecewaan Malaysia pada edisi Piala Dunia 2022 di Korea Selatan yang menyaksikan skuad negara tewas kepada Thailand di perlawanan akhir.
Pada set pertama, Malaysia memulakan perlawanan cukup cemerlang dengan sebahagian besar servis dijana sempurna hingga memaksa Thailand akur dengan keampuhan skuad negara.
Thailand diketuai Poramet Siriswat (apit kiri), Sittipong Khamchan (tekong) dan Varayut Jantarasena (apit kanan) terdesak untuk menang selepas ketinggalan 5-11, membawa masuk tekong berpengalaman mereka, Siriwat Sakha bagi mendapatkan mata daripada servis, namun ia gagal mengubah keadaan.
Thailand yang memerlukan kemenangan di set kedua menggunakan pelbagai taktikal dengan harapan boleh mengheret perlawanan ke set penentuan, namun kemasukan Muhammad Haziq Hairul Nizam membantu skuad negara mendapatkan mata melalui servisnya, sekali gus mengesahkan kemenangan bergaya.
Farhan ketika ditemui selepas perlawanan menyifatkan kemenangan yang sudah lama diidam-idamkan negara itu hasil semangat berpasukan.
“Kemenangan bagi acara double dan regu merupakan kenangan paling manis dalam karier saya. Menentang musuh tradisi Thailand bukan sesuatu yang mudah kerana kita selalu kalah dengan mereka.”
Ia merupakan kemenangan berganda skuad negara apabila turut mencipta sejarah menundukkan negara Gajah Putih itu dalam aksi final acara double dengan keputusan 2-0 (17-16, 15-13) yang turut berlangsung malam tadi.