Lantik individu muflis, UiTM terlepas peluang perjelas ‘perkara penting’

Lantik individu muflis, UiTM terlepas peluang perjelas ‘perkara penting’

Bekas dekan berkata 'kebenaran bersyarat' dikatakan dari Jabatan Insolvensi dilihat kabur.

uitm
Bekas dekan sebuah universiti tempatan, berkata UiTM mesti kemuka lebih perincian dalam mewajarkan keputusan melantik individu muflis dalam mengetuai cabang institusinya.
PETALING JAYA:
Bekas dekan sebuah universiti tempatan menyifatkan penjelasan Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkait pelantikan individu muflis mengetuai jabatan kardiotoraks di fakulti perubatannya tidak cukup.

Katanya, UiTM ‘terlepas beberapa perkara penting’ dalam mewajarkan lantikan berkenaan.

Pada Isnin, UiTM berkata Jabatan Insolvensi memberikan ‘kebenaran bersyarat’ bagi pelantikan ahli akademik itu, selain berkata ia dibuat berdasarkan ‘kepakaran dan pengalaman’.

Bagaimanapun, bekas dekan yang enggan dinamakan berkata, terma kebenaran dimaksudkan ‘tidak jelas’.

Katanya, UiTM mesti mengemukakan lebih perincian proses kebenaran berkenaan dan kriteria diguna pakai untuk membantu menilai keabsahan keputusan sedemikian.

“UiTM tidak menjelaskan kenapa pelantikan individu muflis ke jawatan kanan adalah wajar, memandangkan potensi konflik kepentingan dan persoalan mengenai hal kewangan yang dibangkitkan,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, bagi mewajarkan pelantikan akademik, UiTM sepatutnya mendedahkan data prestasi termasuk kadar kematian pembedahan, indeks kutipan, penerbitan akademik berimpak tinggi, dan anugerah antarabangsa.

“Ini membantu menunjukkan merit tinggi bagi pemilihannya.”

Bekas dekan itu berkata, kelewatan UiTM mengakui hal muflis melibatkan individu itu dan pembelaan kepada pelantikan dibuat memberi gambaran buruk terhadap kredibiliti universiti.

“Ia juga dilihat kurangnya ketelusan dan kemungkinan cubaan mengaburi atau memperkecilkan isu dibangkit.”

Beliau mencadangkan lembaga universiti kembali mempertimbangkan pelantikan tersebut dan melaksanakan proses pemilihan baharu yang lebih telus untuk mengetuai jabatan kardiotoraks.

Persoalan mengenai status ahli akademik itu dibangkitkan di media sosial selepas beliau ditemu bual sebuah portal berita baru-baru ini.

Rujukan dengan Jabatan Insolvensi mengesahkan, ahli akademik itu diisytiharkan muflis pada 2014, dan statusnya kekal setakat 25 April tahun ini.

Beberapa pengguna media sosial juga mendakwa, mereka mendaftar di sebuah universiti perubatan swasta diasaskan individu sama kira-kira 10 tahun lalu, namun ia kemudian ditutup, memaksa kerajaan campur tangan.

Dalam pada itu, ahli G25 Johan Ariffin, berkata di bawah amalan normal, tiada individu muflis dibenar memegang jawatan baik dalam institusi awam, swasta mahupun syarikat.

Katanya, sekatan dibuat merupakan ‘amalan antarabangsa’ dan ia dibuat atas ‘sebab jelas’. Beliau juga menyifatkan pengecualian untuk ahli akademik berkenaan sebagai ‘aneh’.

“Ia tidak sejajar dengan imej institusi. Tidak akan ada sebarang keyakinan kepada individu muflis dengan kelayakannya boleh dipersoal sepanjang masa.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.