
Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, berkata turut tidak terkait ancaman bunuh ke atas Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok.
“Kita boleh sahkan tiada satupun insiden berkenaan mempunyai kaitan antara satu sama lain,” katanya pada sidang media.
Saifuddin berkata, lelaki menyerang anggota polis dan cuba merampas submesingan jenis HK MP5 di Balai Polis Dato Keramat, Pulau Pinang, merupakan suspek mabuk.
“Ketika insiden dia mabuk, jadi yang ‘trigger’ itu adalah mabuk dan kita pun sudah dakwa dia di mahkamah bawah Kanun Keseksaan kerana mengganggu penjawat awam menjalankan tugas.
“Serangan di (Balai Polis) Ulu Tiram seperti yang saya sebut sebelum ini, bahawa dia bertindak ‘lone wolf’,” katanya.
Beliau berkata, dalam cubaan menceroboh Istana Negara, dua lelaki mendakwa ‘bermimpi’ memerintahkan menghadap Yang di-Pertuan Agong.
Mengulas lanjut insiden Ulu Tiram, Saifuddin berkata keluarga penyerang masih dalam tahanan.
“Selepas siasatan lanjut polis, kita dapati keluarga itu tidak bercampur dengan sesiapa dalam masyarakat,” katanya.
Beliau berkata, ahli keluarga itu meyakini hanya mereka sahaja Muslim sebenar dan menganggap yang lain ‘kafir’, justeru tidak mahu bercampur dengan orang lain.
Jumaat lalu, dua anggota polis bertugas di Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru terkorban dan seorang lagi cedera selepas diserang lelaki berusia 21 tahun, yang berjaya ditembak mati ketika serangan.
Polis pada mulanya percaya suspek adalah ahli Jemaah Islamiyah, namun Ketua Polis Negara Razarudin Husain kemudian tampil menjelaskan bahawa suspek tiada kaitan dengan kumpulan pengganas itu.
Pada hari sama, polis menahan dua lelaki kerana cuba menceroboh Istana Negara, dan siasatan menemui parang dalam kereta dinaiki mereka.
Sehari selepas itu, Kok menerima surat ancaman bunuh dalam peti surat bersama dua peluru. Polis menyiasat kes itu bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menakutkan secara jenayah dengan jalan perhubungan sembunyi nama.
Polis kemudian menahan seorang lelaki pada Ahad, kerana menyerang anggota polis dan cuba merampas submesingan, di Balai Polis Dato Keramat.