
Kelmarin, tular poster dan gambar menunjukkan wanita berpakaian seksi menghadiri parti liar dinamakan “Aloha Party” didakwa diadakan di Pulau Lang Tengah yang dikritik warganet tidak sesuai diadakan di Terengganu.
Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, Razali Idris berkata kompaun itu dikeluarkan selepas pertemuan dengan pemilik resort itu di Wisma Darul Iman di Kuala Terengganu pagi tadi.
Beliau berkata siasatan mendapati pemilik premis itu melakukan kesalahan bawah Sub Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan & Tempat-tempat Hiburan 2002.
“Kita dapati penganjuran parti di resort itu dilakukan hampir saban tahun dan kini masuk tahun ke-10. Kegiatan itu dihentikan ketika Covid-19 dan kini dirancakkan kembali.
“Apa yang kita kesal ialah mereka tidak memaklumkan kepada pemegang taruh seperti pihak berkuasa, PBT (pihak berkuasa tempatan) dan pihak pelancongan sendiri, malah penganjuran aktiviti itu tidak mendapat sebarang kelulusan atau permit,” katanya menurut Sinar Harian dalam sidang media di Kuala Terengganu.
Razali berkata pihaknya mengarahkan penganjuran aktiviti seperti “Aloha Party” dihentikan serta-merta, tetapi resort yang memiliki lesen itu boleh terus beroperasi seperti biasa.
“…cuma kita akan arahkan pihak PBT dan pihak-pihak lain untuk memantau dan menyiasat sekiranya terdapat pelanggaran peraturan,” katanya sambil menambah resort itu agak terpencil menyebabkan kegiatannya tidak diketahui ramai.