
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Nancy Shukri berkata kementeriannya melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memandang serius kes berkaitan kecuaian, pengabaian dan penderaan kanak-kanak di taska.
Menurutnya taska berdaftar boleh memastikan kualiti dan standard asas perkhidmatan disediakan premis itu serta pengasuh, selain mengurangkan risiko kecuaian dan penderaan terhadap kanak-kanak.
Beliau berkata ada taska menepati standard minimum pengoperasian ditetapkan JKM, tetapi tidak berdaftar atas pelbagai faktor.
“Antaranya kesukaran menepati syarat dan prosedur ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT) berbeza antara satu kawasan PBT dengan yang lain,” katanya menurut Berita Harian menjawab soalan Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat.
“Bagi taska yang berdepan situasi sebegini, kita mengambil pendekatan membantu mereka dengan memberi khidmat nasihat serta melaksanakan inisiatif memudahcarakan proses mereka memenuhi syarat ditetapkan agensi teknikal, iaitu Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Jabatan Kesihatan serta PBT.”
Nancy berkata perkara itu dilakukan melalui pengaktifan pusat sehenti (OSC) di peringkat negeri dan daerah, di mana 189 taska dibantu sehingga lulus pendaftaran antara September 2023 hingga 31 Mei lalu.
Beliau mengakui kemampuan melakukan pemeriksaan di seluruh negara bagi mencari taska tidak berdaftar amat terhad.
“Justeru, saya menyeru kerjasama semua pihak, termasuklah ibu bapa dan orang awam melaporkan kewujudan taska tidak berdaftar.”
Katanya keperluan mendaftar bukan untuk menjana pendapatan melalui bayaran lesen atau sebagainya, tetapi bagi memastikan taska beroperasi mengikut standard dan amalan terbaik untuk mengurangkan risiko kejadian tidak diingini, keselesaan serta keselamatan kanak-kanak.