3 warga Myanmar antara 4 ditahan kes resit persenda Islam

3 warga Myanmar antara 4 ditahan kes resit persenda Islam

Polis berkata, tiga warga Myanmar termasuk sepasang suami isteri ialah pekerja dusun durian, manakala lelaki tempatan itu merupakan majikan mereka.

resit viral
Resit tular tertera mesej seolah-olah mempersendakan Islam yang dimasukkan seorang pelanggan rangkaian restoran piza di Bayan Lepas, Pulau Pinang. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Tiga warga Myanmar dan seorang lelaki tempatan ditahan bagi membantu siasatan kes resit pesanan pelanggan sebuah restoran rangkaian piza di Kenari Avenue, Bayan Lepas didakwa seolah-olah mempersendakan Islam.

Ketua Polis Barat Daya, Kamarul Rizal Jenal berkata tiga warga Myanmar, termasuk sepasang suami isteri, berusia 19 hingga 28 tahun ialah pekerja dusun durian, manakala lelaki tempatan 67 tahun itu merupakan majikan mereka.

Katanya, semuanya ditahan di sebuah pondok dusun durian di Sungai Ara, Bayan Lepas pada 16 Mei lalu.

“Tiga warga Myanmar itu direman hingga 3 Jun ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

“Lelaki tempatan itu pula dibebaskan dengan jaminan polis selepas reman tamat Isnin lalu. Setakat ini, kita sudah terima 17 laporan berkaitan kes berkenaan,” katanya menurut Berita Harian.

Pihak pengurusan rangkaian restoran piza itu membuat laporan polis susulan satu mesej kontroversi seolah-olah mempersendakan Islam di resitnya yang dimasukkan seorang pelanggan.

Media sebelum ini melaporkan polis merakamkan keterangan lapan individu, termasuk dua pekerja rangkaian restoran piza itu bagi membantu siasatan kejadian 15 Mei lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.