#MahasiswaUiTMBantah: MPP mohon maaf atas kenyataan ‘sedikit mengelirukan’

#MahasiswaUiTMBantah: MPP mohon maaf atas kenyataan ‘sedikit mengelirukan’

MPP UiTM berkata ia satu pengajaran dalam mengolah pemakluman penuh melalui kenyataan yang lebih jelas.

uitm protest
Pada 14 Mei lalu MPP UiTM mengumumkan ia melancarkan kempen #MahasiswaUiTMBantah bagi ‘memberi pendedahan dan pengetahuan’ kepada mahasiswa mengenai ‘hak asasi keadilan Bumiputera’. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknologi Mara (UiTM) memohon maaf atas kenyataan yang ‘sedikit mengelirukan’ apabila ia melaksanakan kempen #MahasiswaUiTMBantah.

Katanya, kenyataan pada 14 Mei lalu tidak menerangkan aspek kronologi kes yang sebenar, serta tidak menjelaskan dengan sebaiknya tafsiran Perkara 153 Perlembagaan sehingga menyebabkan timbul salah faham kepada umum.

“Sesungguhnya perkara ini di luar jangkaan kami dan kami menerima perkara ini sebagai satu pengajaran dalam mengolah pemakluman penuh melalui kenyataan yang lebih jelas,” katanya dalam kenyataan.

MPP UiTM mengambil maklum isu berkait kaum, agama, dan institusi diraja yang sensitif tidak patut ditimbulkan, serta kepentingan menjaga keharmonian dan kesejahteraan hubungan bersama mahasiswa.

“Lantaran perkara yang telah berlaku, keharmonian tersebut telah terganggu kerana kaedah penyampaian yang kurang jelas dan tidak sejajar dengan niat asal pelaksanaan kempen ini berikutan pemahaman konteks yang tidak sehaluan melalui pembacaan,” katanya.

Pada 14 Mei lalu, MPP UiTM mengumumkan ia melancarkan kempen #MahasiswaUiTMBantah bagi ‘memberi pendedahan dan pengetahuan’ kepada mahasiswa mengenai ‘hak asasi keadilan Bumiputera’.

Katanya, kempen itu menegaskan pendirian MPP UiTM berhubung isu membuka universiti itu kepada pelajar bukan Bumiputera.

Sebelum ini, media melaporkan Anggota Lembaga Program Parallel Pathway UiTM-IJN, Raja Amin Raja Mokhtar, mendedahkan UiTM bersetuju untuk membuka program itu secara sementara kepada graduan bukan Bumiputera.

UiTM satu-satunya universiti yang menawarkan program ‘parallel pathway’ dengan kerjasama Institut Jantung Negara dalam bidang kardiotorasik.

Bagaimanapun, Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abdul Kadir berkata kementerian tidak menerima permohonan daripada UiTM untuk membuka program latihan ijazah lanjutan kepakaran atau ‘parallel pathway’ kepada bukan Bumiputera.

Beliau sekali lagi menegaskan perkara itu dalam kenyataan lain, mengatakan isu itu tidak pun dibincang dalam mana-mana mesyuarat di peringkat kementerian mahupun Jemaah Menteri.

Beliau juga percaya pihak tertentu sengaja memainkan isu membuka kemasukan UiTM.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.