Lelaki hilang sejak Sabtu di Bukit Hill Top

Lelaki hilang sejak Sabtu di Bukit Hill Top

Sehingga hari ini operasi mencari dan menyelamat gagal jejak lelaki itu yang keluar mendaki dan berjoging sendirian.

Angkatan Pertahanan Awam, bomba, polis dan dibantu orang awam turut terlibat mencari Muhammad Azfar Ismail, 28, yang hilang di Bukit Hill Top Batu Kawan. (Gambar X)
BATU KAWAN:
Seorang lelaki dilaporkan hilang ketika menjalankan aktiviti mendaki dan berjoging secara sendirian di Bukit Hill Top Batu Kawan, Sabtu lalu.

Difahamkan, lelaki berkenaan keluar dari rumahnya kira-kira 5 petang hari sama.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pulau Pinang, berkata kehilangan Muhammad Azfar Ismail, 28, dari Taman Mutiara, dilaporkan abangnya pada 11.59 malam Sabtu.

“Pasukan keselamatan terdiri daripada bomba, polis dan APM Pulau Pinang dengan dibantu orang awam menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa sejak Sabtu hingga setakat hari ini, namun gagal menjejakinya,” katanya kepada Bernama.

Penduduk kampung turut melakukan solat hajat bagi memohon dipermudah usaha mengesan lelaki itu.

Bukit Hill Top Batu Kawan sering menjadi tumpuan pendaki untuk berjoging di situ pada sebelah petang terutama hujung minggu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.