
Media melaporkan madrasah itu pernah menjadi tempat pertemuan untuk ketua militan seperti Nasir Abbas dan Noordin Mat Top, selain pengasas JI, Abu Bakar dan Abdullah Sungkar. Ia juga digunakan sebagai lokasi merekrut militan sebelum ditutup pada 2001.
Dalam temu bual dengan Malaysiakini, anak Abu Bakar, Abdul Rahim Bashir berkata, bapanya juga tidak mempunyai hubungan dengan ahli keluarga penyerang berusia 21 tahun yang ditembak mati dalam insiden serangan Balai Polis Ulu Tiram, Jumaat lalu, yang meragut nyawa dua anggota polis.
“Kami tidak mengenali mereka. Semasa ustaz Abu Bakar berada di sana (di Malaysia), mereka (keluarga suspek) mungkin pergi ‘mengaji’ (belajar) daripadanya, tetapi dia tidak mengenali setiap seorang daripada mereka,” katanya.
Beliau berkata, bapanya bukan pengasas yang mendirikan Madrasah Luqmanul Hakim sebaliknya hanya hadir jika diundang mengisi pengajian.
Malah, katanya, Abu Bakar tidak lagi mempunyai hubungan sejak pulang ke Indonesia dan madrasah itu ditutup.
“Siapa pun yang ada di pondok itu, ustaz Abu Bakar bukan sebagai pengurus pondok dan ataupun pendiri pondok itu,” katanya.
Ketua Polis Negara Razarudin Husain pada mulanya mengaitkan suspek yang dikenal pasti sebagai Radin Romyullah Radin Imran dengan JI.
Bagaimanapun, beliau kemudian menjelaskan teori awal mengaitkan Radin Romyullah dengan JI berdasarkan siasatan awal melihat kepada pengalaman bapa lelaki terbabit yang juga ahli kumpulan pengganas itu.
Radin Romyullah membunuh dua konstabel, Ahmad Azza Fahmi Azhar dan Syafiq Ahmad Said, selain mencederakan seorang lagi anggota berpangkat koperal sebelum ditembak mati.
Terdahulu hari ini, Berita Harian melaporkan kerajaan Johor mempertimbangkan untuk merobohkan madrasah berkenaan ‘atas faktor keselamatan’.
Exco Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid, berkata walaupun ditutup sepenuhnya pada 2001, madrasah itu masih mengundang kebimbangan penduduk kerana difahamkan pernah menjadi ‘medan usrah’ ahli kumpulan pengganas sekitar 1996 dan 1997.
Bagaimanapun, katanya, hasil semakan bangunan itu tiada lagi kegiatan, dan beliau mengesahkan ia tidak lagi digunakan seperti dibimbangi penduduk.