Hanya Peja layak tanding ‘top 5’ jika Bersatu tak longgar syarat, kata Wan Saiful

Hanya Peja layak tanding ‘top 5’ jika Bersatu tak longgar syarat, kata Wan Saiful

Perkara 13.7 Perlembagaan Bersatu menetapkan untuk ahli layak tanding lima jawatan tertinggi harus memegang jawatan ketua bahagian atau MPT lengkap dua penggal.

Wan Saiful Wan Jan berkata pada pemilihan kali ini mereka bukan saja memilih pemimpin Bersatu tetapi untuk memimpin Perikatan Nasional dan kerajaan.
PETALING JAYA:
Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu satu-satunya individu layak bertanding lima jawatan tertinggi jika parti tidak memberi kelonggaran kepada syarat ditetapkan, kata Wan Saiful Wan Jan.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu berkata, kelonggaran perlu diberi melalui Perkara 14.14 perlembagaan parti bagi membolehkan ia memilih barisan kepimpinan untuk menyokong Presiden Muhyiddin Yassin serta mengelakkan beliau menghadapi situasi ‘tangan yang terikat’.

Perkara 13.7 Perlembagaan Bersatu menetapkan untuk mana-mana ahli layak bertanding lima jawatan tertinggi parti harus memegang jawatan ketua bahagian atau MPT selama lengkap dua penggal.

“Perkataan ‘lengkap’ menyebabkan ada yang tidak layak,” kata Wan Saiful dalam kenyataan.

Perkara 14.14 Perlembagaan Bersatu pula menyatakan MPT berhak memberi kelonggaran kepada mana-mana calon yang ingin bertanding bagi jawatan tertinggi dalam parti itu.

Wan Saiful berkata, jika kelonggaran tidak diberikan, Azmin Ali dan Hamzah Zainudin juga tidak layak bertanding selain kejanggalan akan berlaku seperti Ronald Kiandee tidak layak mempertahankan jawatan naib presiden disandangnya.

Sedangkan dalam pemukiman Bersatu pada Februari lalu, Wan Saiful berkata MPT sebulat suara memberi sepenuh kepercayaan kepada Muhyiddin untuk berbincang lebih terperinci dengan beberapa tokoh dalam parti mengenai hal itu terutama dengan Faizal, Hamzah dan Azmin.

Katanya, langkah itu membolehkan tokoh berbakat dalam Bersatu untuk terus memimpin parti.

“Dalam pemilihan kali ini, kita bukan saja memilih pemimpin Bersatu, tetapi juga untuk memimpin Perikatan Nasional (PN) dan kerajaan Malaysia.

“Dalam konteks ini, secara peribadi, saya berpandangan sebaiknya tiada pertandingan untuk jawatan timbalan presiden tetapi MPT Bersatu perlu menguatkuasakan Perkara 14.14 perlembagaan parti,” katanya.

Wan Saiful berkata, perkara itu juga sudah disuarakan dalam mesyuarat Badan Pimpinan Negeri (BPN) Selangor malam tadi, dan beliau juga akan mengangkat cadangan tersebut dalam mesyuarat MPT Bersatu akan datang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.