Bicara warga Israel dagang senjata, miliki peluru mula 30 Sept

Bicara warga Israel dagang senjata, miliki peluru mula 30 Sept

Pihak pendakwaan dijangka memanggil 20 saksi untuk memberi keterangan.

avitan
Shalom Avitan berdepan satu pertuduhan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata 1960 kerana memiliki 200 peluru, dan Seksyen 7(1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana berdagang senjata api.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Sesyen menetapkan sembilan hari bermula 30 Sept bagi pendengaran kes ke atas warga Israel, Shalom Avitan kerana memperdagang dan memiliki peluru.

Hakim Norina Zainol Abidin menetapkan tarikh itu ketika pengurusan kes hari ini selepas pendakwaan memberi petunjuk bersedia untuk meneruskan kes.

Timbalan Pendakwa Raya Mustaffa P Kunyalam, memberitahu mahkamah bahawa sekitar 20 saksi akan dipanggil untuk memberi keterangan.

“Kami akan menyediakan pernyataan saksi untuk mereka,” katanya.

Tarikh perbicaraan dijadual bermula 30 Sep hingga 3 Okt dan 7 hingga 11 Okt.

Norina juga membenarkan permintaan pendakwaan tuduhan pindaan memiliki peluru, yang dikenakan terhadap Avitan di bawah Seksyen 8 Akta Senjata 1960, membabitkan tambahan jumlah peluru kepada 200, daripada 158.

Avitan mengekalkan pengakuan tidak bersalah terhadap tuduhan pindaan itu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah hotel di Jalan Ampang, antara 26 dan 28 Mac.

Hukuman maksimum bagi pemilikan peluru adalah tujuh tahun penjara, denda tidak melebihi RM10,000, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Avitan juga berdepan satu pertuduhan mengikut Seksyen 7(1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana berdagang enam senjata api.

Jika didapati bersalah berdagang senjata api, Avitan berdepan hukuman penjara antara 30 hingga 40 tahun, dan enam sebatan.

Peguam Jeffrey Ooi dan Navinjit Singh mewakili Avitan, manakala Timbalan Pendakwa Raya Shafiq Hasim dan Fazeedah Faik bertindak sebagai pendakwa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.