Bekas pengerusi UiTM sokong buka sementara bukan Bumiputera masuk program kardiotoraks

Bekas pengerusi UiTM sokong buka sementara bukan Bumiputera masuk program kardiotoraks

Ibrahim Shah Abu Shah berkata kebenaran itu bagi membantu masalah kekurangan pakar bedah kardiotoraks.

uitm
Bekas pengerusi Lembaga Pengarah UiTM, Ibrahim Shah Abu Shah berkata pembukaan kepada pelajar bukan Bumiputera perlu dibenar dalam program itu sementara menunggu UM membuka program latihan sama.
PETALING JAYA:
Bekas pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) menyokong gesaan pelajar bukan Bumiputera menyambung pengajian ke peringkat pakar dalam pembedahan kardiotoraks di institusi itu.

Ibrahim Shah Abu Shah berkata UiTM yang menjadi satu-satunya universiti menawarkan program pembedahan kardiotoraks dengan kerjasama Institut Jantung Negara (IJN) boleh membuka buat sementara waktu kemasukan pelajar selain Bumiputera.

Menurutnya, langkah itu bagi membantu mengatasi masalah kekurangan doktor pakar dalam bidang itu yang ketika ini hanya seramai 14 orang di hospital awam di seluruh negara.

“UiTM sewajarnya menerima mereka secara sementara menunggu UM (Universiti Malaya) membuka program latihan ini,” katanya seperti dilaporkan Malaysiakini.

Khamis lalu, wakil pelajar UiTM melancarkan protes terhadap gesaan kemasukan pelajar bukan Bumiputera dalam program pasca ijazah pembedahan kardiotoraks menerusi pemakaian serba hitam.

Sebelum ini, Persatuan Perubatan Malaysia menggesa UiTM mengutamakan kesihatan awam apabila secara sementara membuka program kardiotoraks kepada bukan Bumiputera, di tengah-tengah kekurangan pakar dan pakar bedah dalam lapangan itu.

Portal berita kesihatan, CodeBlue, bagaimanapun baru-baru ini melaporkan UiTM bersedia menerima ‘sementara’ menerima pelatih bukan Bumiputera dalam program pembedahan kardiotoraks.

Cadangan dibuat Dr Raja Amin Raja Mokhtar, dari Fakulti Perubatan UiTM bagi menyelesaikan kebuntuan yang timbul selepas Majlis Perubatan Malaysia (MMC) enggan mengiktiraf kelayakan diperoleh di bawah program laluan selari Kementerian Kesihatan.

Bagaimanapun, Ibrahim yang juga bekas naib canselor UiTM mengulangi bantahannya terhadap program laluan selari Kementerian Kesihatan.

Beliau menentang keras usaha-usaha pengiktirafan program laluan selari bersandarkan silibus Royal College of Surgeons of Edinburgh (FRCS Ed) kerana mendakwa program tersebut sebagai ‘haram’.

Dakwanya, kelayakan FRCS Ed ‘tidak diiktiraf oleh Royal College of Surgeons of Edinburgh’ sendiri.

katanya, 14 bidang ditawarkan dalam program tersebut bagi memberikan latihan kepada pakar-pakar, tetapi tidak mengikut landasan sistem pendidikan sepatutnya.

Beberapa doktor kanan mendakwa MMC menolak permohonan lapan pakar bedah kardiotoraks dan 100 pakar perubatan keluarga yang dilatih bawah program itu untuk disenaraikan dalam Daftar Pakar Kebangsaan, walaupun selepas permintaan berulang kali daripada Kementerian Kesihatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.