Siti Bainun tarik balik rayuan tangguh hukuman penjara

Siti Bainun tarik balik rayuan tangguh hukuman penjara

Peguam berkata penarikan rayuan itu atas arahan pengasas Rumah Bonda itu.

Peguam mewakili Siti Bainun Ahd Razali berkata pihak pembelaan dapat arahan Mahkamah Tinggi memfailkan permohonan bagi menangguhkan pelaksanaan hukuman di mahkamah terbabit. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Mahkamah Rayuan membatalkan rayuan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara terhadapnya atas kesalahan mendera dan menganiaya remaja sindrom Down dikenali sebagai Bella.

Sidang hakim diketuai Ahmad Zaidi Ibrahim yang bersidang bersama Mohamed Zaini Mazlan dan Azmi Ariffin membuat keputusan itu selepas pihak pembelaan memaklumkan menarik balik rayuan berkenaan.

Peguam Fatin Syaza Irdina Muhamad Eddin Syazri berkata penarikan rayuan itu atas arahan Siti Bainun.

“Ia memandangkan kami sudah mendapat arahan Mahkamah Tinggi memfailkan permohonan bagi penangguhan pelaksanaan hukuman di mahkamah terbabit,” katanya menurut Berita Harian.

Timbalan Pendakwa Raya Asmah Musa tidak membantah penarikan itu.

Mengikut pertuduhan, Siti Bainun, 32, didakwa mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Down itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi, di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.

Kedua-dua pertuduhan itu mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya.

Pada 2 Mei lalu, Mahkamah Tinggi mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun terhadap Siti Bainun atas pertuduhan itu tiga tahun lalu.

Hakim Noorin Badaruddin membuat keputusan itu selepas menolak rayuan Siti Bainun mengetepikan sabitan dan hukuman yang diputuskan Mahkamah Sesyen.

Pada 23 Mei 2023, Siti Bainun kekal dipenjarakan selepas gagal menangguhkan pelaksanaan hukuman terbabit atas kesalahan sama.

Hakim Mahkamah Tinggi Ahmad Bache menolak permohonan itu selepas mendapati tiada keadaan khas atau luar biasa untuk membenarkan penangguhan hukuman.

Selain hukuman penjara, Mahkamah Sesyen turut memerintahkan Siti Bainun menandatangani bon berkelakuan baik selama lima tahun dengan seorang penjamin dan cagaran RM5,000, manakala khidmat masyarakat selama 200 jam perlu disempurnakan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.