Semua permohonan TVET tak dipinggir, kata Zahid

Semua permohonan TVET tak dipinggir, kata Zahid

Timbalan perdana menteri memberi jaminan semua pemohon akan dipadankan dengan kursus bersesuaian berdasarkan kelayakan minimum mereka.

Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi berkata semua pemohon walaupun tidak memiliki sijil akademik akan diterima di mana-mana institusi TVET dalam negara. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi memberi jaminan semua permohonan untuk memasuki program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) tidak akan dipinggirkan walaupun pemohon tidak memiliki sijil akademik.

Zahid yang juga pengerusi jawatankuasa Majlis TVET Negara berkata semua permohonan akan dipadankan oleh sistem unit pengambilan berdasarkan kepada kelayakan minimum calon.

“Saya minta (sekretariat TVET) agar jangan seorang pun (pemohon) berkecil hati kerana tidak memperoleh tempat di TVET.

“Walaupun tidak ada sijil akademik dan Sijil Pelajaran Malaysia, mereka akan diterima di mana-mana institusi TVET di negara ini,” katanya ketika berucap dalam Majlis Pelancaran sistem pengambilan UP_TVET di Perdana Putra.

Zahid Hamidi.

Zahid berkata, sebelum ini permohonan untuk mengikuti kursus TVET menggunakan beberapa saluran mengikut agensi TVET yang ada sehingga menimbulkan kekeliruan.

Katanya, disebabkan itu kerajaan memutuskan semua permohonan kemasukan ke kursus TVET akan menggunakan satu saluran tunggal iaitu portal Unit Pengambilan TVET atau singkatannya UP_TVET

Zahid menjelaskan, sistem dalam UP_TVET akan memberikan padanan mengikut kelayakan pemohon untuk menempatkan semua permohonan.

“Setakat ini, lebih 30,000 tempat disediakan untuk pemohon. Berdasarkan trend sebelum ini, terdapat 100,00 permohonan,” katanya.

Katanya, kursus ditawarkan juga akan menumpukan TVET bertaraf tinggi seperti kecerdasan buatan (AI), internet kebendaan (IOT), robotik dan kenderaan elektrik yang mana ia sangat relevan dengan permintaan industri.

Pengambilan untuk memasuki kursus TVET dibuat dua kali setahun iaitu pada Januari dan Julai.

“Salah satu ciri UP_TVET ialah institusi-institusi akan menawarkan kursus kepada calon dan calon berpeluang untuk mendapat lebih daripada satu tawaran.

“Pada akhirnya, calon boleh memilih untuk bersetuju terima hanya satu tawaran sahaja,” katanya.

Untuk rekod, portal UP_TVET dibangunkan Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) dan memulakan operasinya sejak Oktober tahun lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.