
Mendapati polis dan kerajaan bertanggungjawab, mahkamah memerintahkan mereka membayar ganti rugi dan kos RM197,600 kepada keluarga Fadzrin Zaidi.
Hakim Anand Ponnudurai berkata, polis melanggar kewajipan menjaga Fadzrin, 29, dengan gagal melakukan rondaan lazim yang boleh menghalang kematiannya.
Tambahnya, rondaan sedemikian dikehendaki bawah Kaedah-kaedah Lokap 1953.
“Defendan mempunyai kewajipan menjaga (tahanan) dan tersilap apabila mengatakan Fadzrin tidak berisiko membunuh diri.
“Bawah kaedah lokap, risiko itu sepatutnya dinilai melalui pemeriksaan kesihatan mandatori,” katanya.
Fadzrin, seorang penggali kubur, ditahan semasa serbuan dadah pada 2019 dan ditemukan meninggal dunia ketika ditahan di balai polis Kepala Batas dua hari kemudian.
Seorang koroner sebelum ini memutuskan, Fadzrin secara rela membunuh diri, memetik rakaman CCTV dan keterangan sembilan saksi. Ibunya, Fadhelah Othman, kemudian menyaman polis dan kerajaan atas kecuaian.
Rakaman daripada inkues menunjukkan Fadzrin mundar-mandir di dalam selnya pada 1.05 pagi, ketika seorang lagi tahanan yang berkongsi sel dengannya sedang tidur. Dia kemudian membunuh diri pada 1.51 pagi. Anggota paramedik mengesahkan kematian Fadzrin pada 2.55 pagi.
Anand berkata, cap masa dalam rakaman CCTV itu sangat mencurigakan, dengan percanggahan 25 hingga 30 minit.
“Rakaman itu sepatutnya dipantau oleh anggota polis yang bertugas. Namun, dalam kes ini, hanya terdapat skrin kecil yang tergantung di siling, berfungsi sebagai peranti main balik. Hal ini mengejutkan,” katanya.
Anand juga menyatakan, buku log rondaan lokap mengandungi catatan mendakwa rondaan dibuat pada masa kematian Fadzrin.
“Dalam buku log itu, komen ‘buat rondaan’ ditambah pada masa kematian (tahanan). Hal ini sangat mencurigakan kerana ia satu-satunya komen bersifat sedemikian. (Komen itu) ialah tindakan menyembunyikan (sesuatu), mengambil kesempatan atas percanggahan cap masa CCTV,” katanya.
Hakim juga mendapati kerajaan, sebagai majikan pasukan polis, secara tidak langsung bertanggungjawab atas kecuaian.
Beliau memerintahkan kerajaan membayar kos tanggungan RM57,600, kos kehilangan RM30,000; ganti rugi teruk RM50,000; ganti rugi khas RM10,000; dan kos RM50,000 kepada Fadhelah.
Fadhelah memberitahu pemberita di luar mahkamah, beliau gembira dengan keputusan itu tetapi masih bersedih atas kematian anaknya.
“Suami saya meninggal dunia kerana patah hati disebabkan kematian anak kami,” tambahnya.
Peguam M Visvanathan, V Sanjay Nathan dan V Pushan Qin Nathan tampil mewakili keluarga Fadzrin, manakala Peguam Kanan Persekutuan Nur Ezdiani Roleb dan Peguam Persekutuan Syafiq Affandy Hasan mewakili polis dan kerajaan.
Koroner Norsalha Hamzah sebelum ini mendapati Fadzrin mahu membunuh diri, berdasarkan rakaman video yang ditunjukkan di mahkamah.
Katanya, tiada unsur jenayah yang membawa kepada kematian Fadzrin, dan dia mungkin “malu kerana ditangkap polis, memandangkan dia akan berkahwin tidak lama lagi”.