
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyifatkan Ebrahim Raisi sebagai pemimpin yang terbuka dan tegas, serta menyatakan solidariti Malaysia bersama rakyat Iran.
“Doa dan solidariti buat rakyat Iran, dan semoga Allah mengampuni dosa mereka dan memberi tempat yang istimewa di sisi-Nya,” katanya dalam kenyataan.
Anwar berkata, pertemuannya dengan Raisi di New York, Amerika Syarikat tahun lalu menekuni pelbagai perkara yang dekat dengan Iran dan Malaysia, dan beliau akui selesa bekerjasama dengan presiden Iran itu.
“Beliau menonjolkan sikap yang terbuka tetapi tegas terutama dalam soal pembangunan rakyatnya serta punyai keupayaan yang tinggi dalam memelihara Iran sebagai negara dan tamadun yang kuat,” katanya.
Anwar juga berkata, pemergian Raisi meninggalkan kesan mendalam dalam perjuangan untuk Palestin.
“Tragedi ini tentunya menyedihkan dan meninggalkan bekas yang mendalam terutamanya dalam perjuangan membela warga Palestin,” katanya.
Raisi, 63, dilaporkan meninggal dunia selepas jasadnya ditemui hari ini beberapa jam selepas helikopter yang dinaiki terhempas susulan cuaca buruk di barat laut Iran semalam, lapor Al Jazeera.
Turut ditemui jasad menteri luarnya, Hossein Amir-Abdollahian, serta penumpang lain. Media rasmi Iran belum melaporkan sebab-sebab nahas itu, menurut laporan sama.
Terdahulu, Persatuan Bulan Sabit Merah Iran berkata tiada mangsa selamat ditemukan di lokasi helikopter terhempas.
Raisi dilaporkan dalam penerbangan pulang daripada sebuah majlis perasmian empangan di sempadan Iran dan Azerbaijan apabila helikopter dinaikinya terhempas ketika hendak mendarat di wilayah Varzaqan.
Sementara itu, Menteri Luar Mohamad Hasan menyifatkan kematian Raisi sebagai kehilangan besar bagi dunia kepimpinan Islam.
Mohamad berkata, kali terakhir mereka berbual adalah menerusi telefon pada hujung bulan lalu.
“Allahyarham begitu bervisi dalam usaha pengukuhan hubungan dua hala Malaysia-Iran dalam pelbagai bidang berkepentingan bersama,” katanya.
Raisi yang pernah menjadi ketua hakim Iran terpilih sebagai presiden pada 2021.