Lelaki rentung atas katil selepas apartmen terbakar

Lelaki rentung atas katil selepas apartmen terbakar

Bomba berkata mangsa ditemukan rentung dalam bilik rumahnya di Apartmen Lestari, Damansara Damai, Selangor.

Bomba menerima panggilan mengenai kebakaran di sebuah rumah di tingkat empat di Apartment Lestari, Damansara Damai kira-kira jam 8.58 malam.
KUALA LUMPUR:
Seorang lelaki warga tempatan ditemukan rentung selepas rumahnya yang terletak di tingkat empat di Apartmen Lestari, Damansara Damai, Selangor terbakar kira-kira 8 malam ini.

Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata pihaknya, menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran melibatkan kediaman mangsa berusia lingkungan 40-an itu pada 8.58 malam tadi.

Beliau berkata lima jentera bomba dengan 18 anggota dari Balai Bomba Sungai Buloh dan Damansara, digerakkan ke tempat kejadian.

Katanya, kebakaran berjaya dipadam sepenuhnya pada 9.30 malam.

“Mangsa merupakan seorang lelaki ditemukan rentung di atas katil di dalam sebuah bilik,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada polis dan punca kebakaran masih dalam siasatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.