UiTM diberi kebenaran bersyarat lantik ketua jabatan didakwa muflis

UiTM diberi kebenaran bersyarat lantik ketua jabatan didakwa muflis

Lembaga pengarah UiTM berkata pelantikan dibuat berdasarkan 'kepakaran dan pengalaman' ahli akademik itu.

UiTM berkata pelantikan ahli akademik didakwa muflis sebagai ketua jabatan di fakulti perubatannya dibuat berdasarkan ‘kepakaran dan pengalaman’.
PETALING JAYA:
Jabatan Insolvensi memberikan kebenaran bersyarat untuk UiTM melantik seorang ahli akademik yang didakwa muflis sebagai ketua jabatan kardiotoraks di fakulti perubatannya.

Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM, Raduan Che Rose, berkata pelantikan itu dibuat berdasarkan ‘kepakaran dan pengalaman’ ahli akademik tersebut.

“(Pelantikan) dibuat melalui proses saringan yang ketat termasuk mendapatkan perakuan oleh Jabatan Insolvensi yang kemudiannya telah memberi perakuan dan kebenaran berserta syarat-syarat yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan.

Raduan Che Rose.

“Faktor kepakaran dan pengalaman beliau turut menjadi asas pertimbangan pelantikan itu yang seterusnya menyaksikan sumbangan beliau yang sangat signifikan dalam merealisasikan pembangunan program kepakaran kardiotorasik di UiTM.”

Jumaat lalu, FMT melaporkan bahawa seorang Felo Akademi Sains Malaysia, Tajuddin Abdullah, menuntut akauntabiliti universiti tersebut, menggesanya mendedahkan butiran penuh pelantikan tersebut kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Tajuddin berkata, kegagalan berbuat demikian akan menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap institusi itu.

Menjawab dakwaan bahawa ahli akademik itu tidak berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia tahun ini, Raduan mengesahkan ahli akademik tersebut memegang Sijil Perakuan Amalan Tahunan yang sah hingga 31 Dis.

Persoalan mengenai status ahli akademik itu dibangkitkan di media sosial selepas beliau ditemu bual sebuah portal berita baru-baru ini.

Rujukan dengan Jabatan Insolvensi mengesahkan, ahli akademik itu diisytiharkan muflis pada 2014, dan statusnya kekal setakat 25 April tahun ini.

Beberapa pengguna media sosial juga mendakwa, mereka mendaftar di sebuah universiti perubatan swasta yang diasaskan oleh individu sama kira-kira 10 tahun lalu, namun ia kemudian ditutup, memaksa kerajaan campur tangan.

Pada 29 April, isu itu mendorong Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abdul Kadir mengarahkan UiTM memberikan laporan penuh mengenai perkara itu. Bagaimanapun, masih belum ada maklumat terkini mengenai status laporan tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.