Teresa Kok terima surat ancaman, 2 peluru

Teresa Kok terima surat ancaman, 2 peluru

Naib pengerusi DAP itu berkata beliau menerima surat itu yang diletakkan dalam peti surat di rumahnya pada malam semalam.

teresa kok
Teresa Kok menunjukkan surat ancaman beserta dua butir peluru yang diterimanya. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Naib pengerusi DAP Teresa Kok mendakwa menerima ancaman bunuh dalam sepucuk surat yang dihantar bersama dua butir peluru.

Kok dalam satu kenyataan di Facebook berkata, dia menerima sampul surat itu pada malam semalam yang diletakkan di peti surat di kediamannya.

“Saya mengambil surat di peti surat dan dapati ada satu sampul surat yang mengandungi benda yang agak keras di dalamnya.

“Bila saya buka sampul surat dan keluarkan kandungannya, saya mendapati dua butir peluru dan satu kertas putih bertulis: “C*b*ilu Cina?!!! Lu Akan Mati !!! TUNGGU!!!”,” katanya.

Ahli Parlimen Seputeh berkata, beliau kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Petaling dan menyerahkan surat beserta peluru berkenaan kepada polis.

Katanya, sepasukan anggota polis juga datang ke kediamannya dan melakukan siasatan di bahagian peti surat berkenaan.

“Saya hairan kenapa saya terima peluru dan surat yang penuh ugutan seperti ini. Saya juga berterima kasih kepada pihak polis atas tindakan pantas mereka,” katanya.

FMT cuba mendapatkan polis Kuala Lumpur untuk pengesahan dan kenyataan lanjut berhubung perkara itu.

Sementara itu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil turut mengecam ugutan yang diterima Kok dan berkata perkara seperti itu tidak seharusnya berlaku kepada wakil rakyat.

“Perkara seperti ini tidak harus diperlakukan kepada mana-mana Ahli Parlimen yang telah dipilih rakyat.

“Mereka ada hak untuk bersuara dan ia terpakai sama ada Ahli Parlimen kerajaan mahupun pembangkang. Jangan diugut Ahli Parlimen kerana mereka adalah suara rakyat,” katanya selepas merasmikan sebuah program di Kuala Lumpur.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.