Jangan amal konsep Ali Baba, MB Perak nasihat koperasi

Jangan amal konsep Ali Baba, MB Perak nasihat koperasi

Saarani Mohamad berkata, konsep Ali Baba merugikan dan tidak memberi nilai tambah terhadap kemajuan dan pembangunan koperasi.

Saarani Mohamad
Saarani Mohamad berkata, jika ada pihak persendirian dan koperasi memohon projek, kerajaan negeri lebih cenderung memberinya kepada koperasi kerana keuntungan boleh dikongsi atau berbalik kepada ahlinya.
IPOH:
Mana-mana koperasi yang menerima projek daripada kerajaan Perak diingatkan tidak mengamalkan konsep Ali Baba atau menjual projek mereka kepada syarikat atau pihak lain.

Menteri Besar, Saarani Mohamad berkata, tindakan itu bukan hanya merugikan, bahkan tidak memberi nilai tambah terhadap kemajuan dan pembangunan koperasi.

Beliau berkata, sekiranya ada pihak persendirian dan koperasi memohon projek, kerajaan negeri lebih cenderung memberinya kepada koperasi kerana keuntungan itu boleh dikongsi atau berbalik kepada ahlinya.

“Sekiranya permohonan diluluskan, janganlah (amalkan) Ali Baba pula kerana akhirnya koperasi hanya dapat ‘kuah’, orang lain yang akan merasa untungnya,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan ke-27 Koperasi Masjid Perak Berhad di sini.

Bagi memastikan amalan itu dihindari, pihaknya akan meneliti kelayakan setiap permohonan dan jika menepati kriteria, maka projek berkenaan berpotensi diluluskan kepada koperasi terbabit.

Saarani berkata, ketika ini, kerajaan negeri dalam perancangan membangunkan Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC) dan Projek Automotive High Tech Valley (AHTV) yang diyakininya akan berjaya kerana mendapat sokongan Putrajaya.

“Sebab itu saya nak koperasi bukan saja dapat melihat peluang daripada projek ini, malah perlu ada kekuatan, persiapan dan kepakaran.”

Beliau berkata, buat masa ini pihaknya mahu semua koperasi di Perak lebih memfokuskan permohonan projek berimpak tinggi dan tidak hanya bergantung kepada perniagaan kecil-kecilan dalam menjana pendapatan.

Kebiasaannya, koperasi akan berniaga kecil-kecilan seperti jual beli barang, hartanah, kredit dan sebagainya, namun katanya, mereka kurang ambil tahu hal lebih besar, antaranya seperti permohonan pasir dan tanah merah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.