
Menurut Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Sarjan Faridah Abd Rahman, 36, disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan pada 2.25 pagi waktu Lubnan semalam (7.25 pagi waktu Malaysia) apabila rebah setelah turun dari bas.
Faridah, yang berasal dari Pendang, Kedah, baru kembali ke Kem Marakah untuk bertugas setelah bercuti di Malaysia.
“Jenazah akan dihantar ke Hospital Hammoud, Saida di Lubnan untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.
“Proses bedah siasat akan dilaksanakan hari ini iaitu pukul 3.30 petang waktu Malaysia,” menurut ATM dalam kenyataan, lapor Bernama.
“Markas Angkatan Bersama yang berperanan menyelaraskan semua keperluan operasi dan misi ATM di luar negara termasuk atur gerak Malbatt 850-11 bagi Misi Unifil akan menguruskan proses penghantaran pulang jenazah ke Malaysia dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan kemudian.”
Faridah meninggalkan empat orang anak, iaitu tiga perempuan dan seorang lelaki, berusia antara empat hingga 10 tahun.
Beliau mula berkhidmat dalam angkatan tentera pada 2007 dan bertugas sebagai penyelia kanan hal ehwal Islam di Batalion Ke-19 Rejimen Askar Melayu Diraja Kem Lapangan Terbang, Sungai Petani, Kedah sebelum diatur gerak menyertai Misi Malbatt 850-11 Unifil.