Tuanku Syed Faizuddin jadi pemangku Raja Perlis 4 bulan

Tuanku Syed Faizuddin jadi pemangku Raja Perlis 4 bulan

Ia susulan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail akan menjalani pembedahan kaki minggu depan.

Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menjadi pemangku Raja Perlis bermula 15 Mei lalu. (Gambar Bernama)
KANGAR:
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menjadi pemangku Raja Perlis selama empat bulan bermula 15 Mei lalu.

Istana Arau dalam kenyataan memaklumkan, ia berikutan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail akan menjalani pembedahan kaki minggu depan di Hospital Tuanku Fauziah dan kemudian akan melalui proses rehabilitasi.

“Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail menyeru agar semua rakyat Perlis memberikan sokongan yang penuh kepada anakanda baginda, Tuanku Syed Faizuddin yang akan menggalas amanah sebagai Pemangku Raja Perlis bagi pihak baginda bermula pada 15 Mei 2024.

“Tempoh pemangkuan Tuanku Syed Faizuddin ialah untuk selama empat bulan ketika Tuanku Raja akan menjalani pembedahan kaki pada minggu hadapan di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar dan seterusnya melalui proses rehabilitasi selepas itu,” menurut kenyataan itu.

Raja Perlis turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan negeri, kaum kerabat Diraja, para sahabat handai dan khususnya rakyat Perlis yang dikasihi atas doa dan ucapan sempena sambutan ulang tahun keputeraan raja Perlis itu yang ke-81 semalam.

Tuanku Syed Sirajuddin bertitah demikian semasa berkenan berangkat ke majlis santapan malam yang diadakan di Mes Pegawai Kanan Polis DiRaja Malaysia Perlis, Jalan Raja Muda malam tadi, menurut kenyataan itu.

Turut berangkat, Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid, Tuanku Syed Faizuddin dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda Sharifah Farah Adriana dan Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.