
Razarudin berkata tiada warga Singapura direman bagi membantu siasatan kes berkenaan seperti dilaporkan media hari ini.
“Semua tujuh individu yang ditahan semalam dan yang direman hari ini ialah rakyat tempatan berumur antara 19 hingga 62 tahun dan tiada warga Singapura (terlibat) seperti yang dilaporkan,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Terdahulu, tujuh individu direman tujuh hari bermula hari ini hingga 24 Mei bagi membantu siasatan berhubung kejadian serangan di balai polis berkenaan.
Individu yang direman terdiri daripada lima ahli keluarga suspek, yang ditahan susulan pemeriksaan di kediaman keluarga suspek pada awal pagi semalam.
Turut direman ialah dua penuntut kolej berusia 21 dan 22 tahun yang turut berada di lokasi kejadian ketika insiden berlaku.
Dalam kejadian 2.45 pagi itu, dua anggota polis berpangkat konstabel, Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, maut selepas diserang seorang lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang.
Seorang lagi anggota polis yang berpangkat koperal, Mohd Hasif Roslan cedera ditembak dan dilaporkan stabil selepas dirawat di Hospital Sultan Ismail, Johor.
Penyerang berusia 21 tahun turut terbunuh akibat ditembak dalam kejadian itu.