
“…malah dia dan keluarga juga tidak bercampur masyarakat. Oleh itu, serangan suspek di Balai Polis Ulu Tiram adalah terpisah daripada misi besar atau kumpulan terancang…itu tidak ada.
“Insiden semalam bukan mengancam keselamatan awam begitu sekali (seperti persepsi ramai, tular, laporan segelintir media).
“Tidak perlu kita nak kaitkan insiden ini dengan agama misalnya. Itu penting. Kita akan berikan butiran maklumat setakat yang kita temui tanpa kita nak berlebih-lebihan,” katanya menurut Berita Harian dalam sidang media di IPK Johor hari ini.
Beliau berkata, 46 individu itu disiasat sama ada mempunyai kaitan dengan serangan semalam dan mereka dibenarkan pulang selepas selesai memberi keterangan.
Dalam kejadian 2.45 pagi semalam, dua anggota polis, Ahmad Azza Fahmi Azhar dan Muhamad Syafiq Ahmad Said maut diserang seorang lelaki bersenjatakan parang yang merampas dua senjata api daripada anggota polis.
Seorang lagi anggota polis turut cedera ditembak dan sedang dirawat di Hospital Sultan Ismail, manakala suspek utama itu mati ditembak di lokasi kejadian.
Susulan itu, polis menahan dua pelajar institusi pengajian tinggi yang dipercayai ada kaitan dengan kes itu serta lima ahli keluarga suspek berusia 19 hingga 62 tahun.
Semalam, Ketua Polis Negara, Razarudin Husain mengesahkan suspek ialah anggota kumpulan pengganas Jemaah Islamiyah (JI), yang melakukan serangan untuk mendapatkan senjata api disimpan di Balai Polis Ulu Tiram.
Katanya, bapa suspek juga anggota JI dan hasil serbuan di rumah suspek mendapati kediaman itu banyak ditampal ayat al-Quran dan ‘kita tahu ini adalah ahli JI’.
Saifuddin berkata, hasil pemeriksaan di rumah keluarga suspek menemui beberapa bahan yang memerlukan siasatan lanjut.