
Pengumuman ini menjawab notis Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Zambri Bakar pada Isnin, yang memaklumkan kepada para peguam dan mahkamah-mahkamah bahawa sistem e-Jamin tidak akan diteruskan berkuat kuasa 19 Mei.
Sistem itu membolehkan pihak yang menjamin membuat bayaran melalui transaksi perbankan dalam talian.
“BHEUU ingin menegaskan bahawa keputusan pembatalan ini telah diambil tanpa sebarang pengetahuan dan perbincangan dengan bahagian ini yang sepatutnya ia perlu dirujuk dan mengambil kira pandangan daripada semua pihak yang berkaitan,” katanya dalam kenyataan.
“Justeru itu, pihak JPM telah pun membuat keputusan untuk meneruskan penggunaan sistem e-Jamin selari dengan aspirasi Kerajaan Madani dan hasrat Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang menggalakkan inisiatif pendigitalan sistem perkhidmatan kerajaan bagi kemudahan dan kesejahteraan rakyat.”
Malaysia merupakan negara pertama di Asean yang menyediakan pembayaran jaminan secara dalam talian, iaitu pada 2020.
Ia membolehkan pihak yang menjamin melengkapkan prosedur jaminan dalam tempoh 15 minit, dengan memindahkan bayaran secara dalam talian dengan menggunakan telefon pintar.
Mengikut sistem konvensional, yang boleh mengambil masa beberapa jam, pihak yang menjamin perlu pergi ke bank, membuka suatu akaun, mendepositkan jumlah bayaran, dan menyerahkan buku bank kepada mahkamah.
Beberapa peguam memberitahu FMT berkata mereka terkejut dengan keputusan tidak meneruskan sistem yang mudah itu.
Tiada sebab diberikan oleh pegawai mahkamah tentang keputusan tidak meneruskan sistem e-Jamin.