
Beliau berkata, kenyataan semalam mengaitkan suspek berusia 21 tahun yang ditembak mati adalah anggota JI berdasarkan siasatan awal melihat kepada pengalaman bapa lelaki terbabit yang juga ahli kumpulan pengganas itu.
“Tiada kaitan dengan JI,” katanya kepada FMT.
Dalam sidang media di IPK Johor hari ini, Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, berkata suspek didapati bertindak sendirian dan tiada kaitan kumpulan terancang berdasarkan kesimpulan awal polis, selepas menemu bual 46 individu dalam profil terkait insiden berkenaan.
“Kita dapati buat peringkat awalan ini bahawa penyerang bertindak bersendirian, kita panggil ‘lone wolf’, dia didorong motivasi tertentu yang dia faham sebab dia tidak bercampur orang,” katanya menurut Bernama.
Dalam kejadian 2.45 pagi semalam, dua anggota polis, Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, maut diserang lelaki bersenjatakan parang, manakala seorang lagi anggota pasukan keselamatan itu, Mohd Hasif Roslan cedera ditembak.
Siasatan di rumah suspek di Ulu Tiram membawa kepada penahanan lima ahli keluarganya berusia 19 hingga 62 tahun.