
Pakar automotif, Hezeri Samsuri, berkata menerusi langkah itu lebih banyak pihak boleh menawarkan perkhidmatan sama dan ini memerlukan Kementerian Pengangkutan selaku badan mengawal selia sektor itu memainkan peranan untuk memastikan tahap piawaiannya termasuk mengelakkan unsur rasuah.
“Kementerian Pengangkutan perlu melakukan ‘lawatan’ dari semasa ke semasa bagi memastikan kualiti perkhidmatan syarikat terbabit terjaga.
“Puspakom atau syarikat yang beroperasi dalam bidang ini perlu menurut piawaian dan kualiti ditetapkan Kementerian Pengangkutan,” katanya kepada FMT.
Beliau turut mencadangkan pusat pemeriksaan kenderaan diwujudkan di lebih banyak kawasan bagi memudahkan pengguna.
Mac lalu, Jemaah Menteri memutuskan perkhidmatan pemeriksaan berkala kenderaan motor bagi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dibuka kepada pihak berkelayakan dan memenuhi syarat ditetapkan, sekali gus menjadikan Puspakom tidak lagi memonopoli perkhidmatan itu.
Konsesi Puspakom akan tamat pada 31 Ogos ini.
Susulan itu, Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook mempelawa pihak berkelayakan, memenuhi syarat dan kompeten menghadiri sesi taklimat fungsi pemeriksaan kenderaan motor yang diadakan 23 April lalu, manakala permohonan berkaitan tawaran berkenaan boleh mula dikemukakan kepada JPJ mulai 1 Jun.
Sementara itu, Ketua Aktivis Gabungan e-Hailing Malaysia (GEM), Jose Rizal, berpendapat kerajaan sepatutnya memberi fokus menangani isu ketelusan dan kecekapan operasi Puspakom daripada membuka pusat pemeriksaan kenderaan baharu yang dikendalikan syarikat swasta.
Beliau khuatir isu utama membelenggu Puspakom sebelum ini seperti komplot atau ‘kartel runner’ yang diberikan keutamaan melepasi pemeriksaan walaupun kenderaan tidak mematuhi piawaian berulang jika tidak ditangani terlebih dahulu.
Katanya, sikap seolah-olah ‘tidak kisah’ dan membiarkan masalah itu berlarutan menyebabkan pengguna menanggung kerugian dari segi masa mahupun wang.
“Jika syarikat berkaitan kerajaan boleh dicampuri urusan secara terus sebelum ini sukar ditangani kementerian, adakah ia mampu selesaikan masalah ini jika dibuka kepada syarikat swasta?” soalnya.
“Perbetul dan naik taraf sistem pengendalian dan operasi Puspakom serta lantik pihak berkecuali bagi pelaksanaan audit sistem pemeriksaan, sebelum bercerita menghapuskan monopoli.”