
Dzulkefly berkata, Tabung Bantuan Perubatan meluluskan hampir RM9 juta bantuan untuk perkhidmatan perubatan berkaitan telinga, hidung dan tekak.
“Rekod Tabung Bantuan Perubatan menunjukkan perkhidmatan Otorinolaringologi (ORL) mencatatkan kedudukan ketiga tertinggi untuk bantuan perubatan.
“Usaha ini telah memberi peluang kepada anak-anak yang mempunyai masalah pendengaran untuk mendengar dengan lebih baik dan seterusnya memperkasakan golongan ini terutama dalam pembelajaran,” katanya ketika merasmikan majlis ‘Hear Me Malaysia’s Got Talent’ di Hospital Cyberjaya.
Dzulkefly juga berkata, kementerian menjalankan pemeriksaan pendengaran untuk 68,823 bayi yang baharu dilahirkan dari 13 Dis 2023 hingga 21 Mac tahun ini menerusi program saringan pendengaran bayi baru lahir.
“Program ini penting. Walaupun kanak-kanak yang diperiksa tidak boleh terus diberi implan koklea, tetapi sekurang-kurangnya mereka boleh dipantau dan diberi bantuan pendengaran,” katanya.
Katanya, menerusi program itu seramai 987 bayi baru dilahirkan dikesan mengalami masalah pendengaran pada 2023 dan kini menjalani rawatan dan langkah pencegahan.
Program itu juga diperluaskan ke 61 hospital kerajaan.
Dzulkefly berkata mengikut situasi semasa di Malaysia, satu dalam 20 individu dewasa mempunyai masalah pendengaran dan empat bayi dalam 1,000 dilahirkan dengan mempunyai masalah pendengaran kongenital.