
Beliau berkata, ini kerana pihaknya mempunyai pangkalan data mencukupi dalam membantu menguruskan kes seperti serangan di Balai Polis Ulu Tiram semalam.
“Pangkalan data kita memadai untuk menguruskan insiden sebegini dan kita mempunyai latar belakang mereka yang terlibat dalam apa pun kegiatan atau pernah ditahan di bawah (Akta Langkah-langkah Pencegahan Khas 2012 (Sosma)…pendekatan polis adalah terus berinteraksi dengan mereka bagi memastikan proses rehabilitasi berjalan serta tidak menjadi ancaman kepada masyarakat.
“Alhamdulillah (gerakan) JI ini masih terkawal dan saya percaya pasukan polis mempunyai pengalaman untuk menguruskan (kejadian sama di Balai Polis Ulu Tiram) berdasarkan pangkalan data, pola dan corak sesuatu itu berlaku,” katanya dalam sidang media di IPK Johor di sini. Turut hadir Ketua Polis Negara, Razarudin Husain.
Dalam masa sama, Saifuddin menggesa masyarakat mengelak menyebarkan sebarang spekulasi, manakala media disaran melaporkan kejadian terbabit berdasarkan fakta diberikan polis.
“Saya dapat mengesan sebahagian tulisan (pengamal media) dan (saya) mohon (pihak media) untuk melakukan (menulis) ikut fakta kes tanpa perlu kaitkan insiden ini dengan agama.
“Beri ruang kepada polis untuk menjalankan siasatan dan (polis) memberi jaminan ketenteraman serta keselamatan awam adalah keutamaan kami.”
Dalam kejadian 2.45 pagi semalam, dua anggota polis, Ahmad Azza Fahmi Azhar dan Muhamad Syafiq Ahmad Said maut diserang seorang lelaki bersenjatakan parang, manakala seorang lagi anggota polis, Mohd Hasif Roslan, cedera ditembak.
Suspek lelaki berumur 21 tahun yang ditembak mati itu ahli JI dan siasatan di rumah suspek di Ulu Tiram membawa kepada penahanan lima ahli keluarganya berumur 19 hingga 62 tahun.