
Ketika memberi keterangan dalam saman fitnah yang difailkan terhadap beliau oleh J&E Advance Tech Sdn Bhd, Azmin berkata, sesiapa sahaja boleh mengimport telur dari luar negara bagi menangani kekurangan bekalan.
“Mengimport telur tidak melibatkan teknologi yang kompleks.
“Menteri pertanian dan keterjaminan makanan (Mohamad Sabu) memberitahu Dewan Rakyat pada 8 Mac 2023, bahawa J&E hanya satu-satunya syarikat yang mendapat permit untuk mengimport telur.
“Mengapa hanya J&E sahaja?,” katanya di Mahkamah Tinggi.
Dalam saman yang difailkan pada tahun lalu, J&E Advance Tech mendakwa Azmin memfitnah syarikat itu dengan mencadangkan bahawa ia dianugerahkan kontrak itu secara rundingan terus dengan kerajaan.
Syarikat itu mendakwa, kenyataan Azmin yang dibuat dalam satu ceramah di Gombak pada 11 Mac tahun lalu, adalah tidak benar dan menuntut ganti rugi.
Azmin berkata, beberapa hari selepas kenyatan Mohamad di Dewan Rakyat, tular sekeping gambar menunjukkan menteri itu dengan ahli perniagaan Deepak Jaikishan menaiki satu penerbangan ke India.
Katanya, gambar itu membangkitkan persoalan mengenai peranan Deepak dalam perkara itu.
“Saya bukannya cuba untuk ‘memalukan’ atau menuduh beliau. Adalah salah saya sebagai seorang rakyat biasa untuk bertanya soalan seperti itu?,” kata Azmin.
Ketika disoal balas peguam T Gunaseelan, yang mewakili J&E Advance Tech, sama ada Azmin mengesahkan kesahihan gambar tersebut, beliau berkata, Deepak mahu pun Mohamad menafikan ia wujud.
“Sekiranya ada yang tidak kena dengan gambar itu, mengapa mereka tidak tampil berkata demikian,” katanya.
Pesuruhjaya Kehakiman Leong Wai Hong menetapkan 25 Julai ini untuk hujahan balas.
Azmin diwakili peguam Nizamuddin Abdul Hamid.