
Kementerian Sumber Manusia dalam kenyataan berkata, syarikat itu gagal mematuhi arahan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) dalam prosiding pada 5 Feb lalu untuk membayar tunggakan gaji RM1,035,557.50 dalam tempoh 45 hari.
“Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Johor kini dalam proses menguatkuasakan perintah Mahkamah Perusahaan dengan tindakan pendakwaan ke atas majikan di Mahkamah Sesyen mengikut Seksyen S69(4) Akta Kerja 1955 yang mana jika sabit kesalahan boleh didenda RM50,000 bagi setiap kesalahan dan perlu membayar tunggakan pekerja.”
Media sebelum ini melaporkan pendedahan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said, dianggarkan 2,500 pekerja asing ditipu syarikat serta ejen pekerjaan di Pengerang.
Ia termasuk 171 pekerja asing dalam video tular yang berjalan ke balai polis untuk membuat laporan kerana diperdaya ejen.
FMT kemudian mendedahkan lebih 90 warga Bangladesh di Kajang berdepan nasib sama, dengan ada antaranya membayar RM20,000 kepada ejen, tetapi tidak mendapat pekerjaan dijanjikan.
Kementerian Sumber Manusia berkata, 10 kertas siasatan dibuka ke atas syarikat terbabit, dengan empat mendapat izin pendakwaan dan selebihnya untuk arahan lanjut.
Katanya, kuota pengambilan pekerja asing bagi syarikat itu dibatalkan dan majikan terbabit disenarai hitam daripada permohonan untuk pekerja asing baharu, manakala 692 pekerja asing terbabit diberikan pekerjaan melalui proses pertukaran majikan (PTM) khas.