Jawatankuasa Parlimen sedia semak calon pengerusi baharu SPR

Jawatankuasa Parlimen sedia semak calon pengerusi baharu SPR

Pengerusi JKPK William Leong berkata pihaknya sedia mengemukakan pandangan dan syor mengenai siapa patut menggantikan Abdul Ghani Salleh.

JKPK bersetuju proses pelantikan pengerusi baharu SPR perlu dilaksanakan secara telus dan dengan penglibatan Parlimen.
PETALING JAYA:
Jawatankuasa Pilihan Khas (Dewan Rakyat) Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi (JKPK) sedia mengadakan mesyuarat untuk menyemak calon untuk dilantik sebagai pengerusi baharu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pengerusi William Leong, berkata jawatankuasa itu mengambil maklum desakan pertubuhan masyarakat, Bersih dan badan pemikir untuk satu proses telus dan konsultatif dalam pelantikan pengerusi SPR.

“JKPK bersetuju dengan desakan agar calon-calon ditapis terlebih dahulu oleh sebuah jawatankuasa parlimen,” katanya dalam kenyataan.

“Memandangkan perkara ini amat mendesak dan penting, JKPK bersedia untuk mengadakan mesyuarat tergempar bagi menyemak calon dipertimbangkan bagi jawatan itu, dan seterusnya mengemukakan pandangan dan syor kepada kerajaan dan Yang di-Pertuan Agong, bagi menyokong Majlis Raja-Raja dalam melaksanakan budi bicara mereka bawah Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan.”

Bawah Perkara 114, anggota SPR termasuk pengerusinya, perlu dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong selepas mendapat nasihat Majlis Raja-Raja.

Pengerusi SPR Abdul Ghani Salleh bersara pada 9 Mei lalu, selepas empat tahun memegang jawatan itu.

Leong berkata, JKPK juga akan terus bekerjasama rapat dengan kerajaan untuk mengukuhkan ketelusan, kebebasan dan akauntabiliti institusi dan pegawai awam.

“Usaha untuk melibatkan Parlimen (melalui JKPK) dalam proses melantik pengerusi SPR baharu adalah tanda muhibah kepada rakan masyarakat sivil kita dan pengiktirafan terhadap keprihatinan mereka,” katanya.

Minggu lalu, Bersih mengkritik kerajaan berhubung pelantikan ahli baharu SPR, Sapdin Ibrahim, kerana mendakwa ia bertentangan dengan janji yang dibuat Pakatan Harapan dan Barisan Nasional.

Bersih berkata pelantikan Sapdin tanpa semakan Parlimen menunjukkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan kerajaan tidak serius untuk mereformasi SPR.

Pemantau pilihan raya itu juga berkata, kerajaan hanya dapat menebus kegagalan dengan segera mengumumkan bahawa lantikan pengerusi SPR baharu akan dilakukan melalui suatu jawatankuasa Parlimen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.