Jangan ubah syarat tanding ‘top 5’ demi ‘individu tertentu’, kata pemimpin

Jangan ubah syarat tanding ‘top 5’ demi ‘individu tertentu’, kata pemimpin

Mohd Rafiq Mohd Abdullah meminta mereka yang belum cukup syarat supaya menunggu atau dapat kebenaran khas bertanding dari Majlis Pimpinan Tertinggi.

Ada desakan kuat daripada akar umbi Bersatu mahu pemilihan parti September ini dibuka kepada lebih ramai untuk kelangsungan parti. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu berpendapat peraturan parti termasuk syarat bertanding jawatan ‘top 5’ tidak sewajarnya diubah sewenang-wenangnya untuk memenuhi kepentingan individu tertentu.

Mohd Rafiq Mohd Abdullah menegaskan peraturan sedia ada harus dipatuhi selagi belum ada keputusan pimpinan, merujuk laporan FMT berhubung gesaan akar umbi mahu syarat seseorang itu harus menjadi ahli MPT lengkap dua penggal bagi bertanding jawatan presiden hingga naib presiden digugurkan.

Peraturan Bersatu menetapkan hanya ahli MPT selama dua penggal layak bertanding jawatan presiden yang kini disandang Muhyiddin Yassin, timbalan (Ahmad Faizal Azumu) dan naib (Radzi Jidin serta Ronald Kiandee).

Seorang lagi penyandang jawatan naib presiden Mohd Rafiq Naizamohideen keluar parti pada Oktober 2022.

“Kita kena akur. Tak kira kamu popular macam mana sekali pun tetapi kalau mengikut perlembagaan dan undang-undang parti kita tak layak maka terimalah…sabar kerana masa masih ada.

“Pada pandangan saya harus berpegang kepada prinsip perlembagaan parti untuk dipatuhi bukan untuk dilanggar, yang tak sabar ramai tak cukup tempoh lagi (jadi ahli MPT lengkap dua penggal),” kata Rafiq yang juga Adun Kuang.

“Nak duduk top 5 pula, sekurang-kurangnya kena berkhidmat untuk satu tempoh meyakinkan untuk kita angkat beliau ke jawatan tertinggi itu.”

Selasa lalu, FMT memetik sumber Bersatu mendedahkan terdapat desakan kuat supaya syarat itu digugurkan bagi memberi ruang kepada lebih ramai bertanding demi kelangsungan parti itu selepas calonnya Khairul Azhari Saut tewas pada PRK Kuala Kubu Baharu minggu lalu.

Pemilihan bagi jawatan presiden dan timbalan menarik perhatian ramai kerana ia membayangkan calon perdana menteri dari Perikatan Nasional (PN), seperti ketika PRU15 apabila Muhyiddin dicalonkan ke jawatan itu sesuai statusnya sebagai pengerusi PN.

Bagaimanapun, Rafiq berkata ahli Bersatu yang berhasrat bertanding lima jawatan utama pada pemilihan parti September ini tetapi tidak cukup syarat boleh mendapat kebenaran khas seperti yang diperolehi Kiandee empat tahun lalu.

“Kiandee diberi kebenaran khas tanding naib presiden mewakili Sabah walaupun beliau cukup penggal, ketika itu Sabah baru bersama kita (2019).

“Kita ada klausa itu, cuma kita tak boleh sewenang-wenangnya mengubah ‘kitab’ perlembagaan untuk kepentingan individu tertentu,” katanya yang secara sinis berkata gesaan pertandingan dibuka kepada lebih ramai mungkin kerana mahu ‘memeriahkan’ pemilihan Bersatu.

Mengulas dakwaan ada pemimpin Bersatu membawa individu dalam senarai ‘cai’ menjelajah ke seluruh negara untuk ‘berkempen’, Rafiq menyifatkannya perkara biasa dalam pemilihan parti.

“Kena ada strategi, macam nak masuk PRU kena bentuk pasukan sendiri. Namun, akhirnya kita tetap bertanding sebagai keluarga besar Bersatu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.