Cuepacs gesa jangan pandang ringan isu petugas kesihatan kurang

Cuepacs gesa jangan pandang ringan isu petugas kesihatan kurang

Cuepacs berkata kebajikan mereka perlu diberi perhatian bagi memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Baru-baru ini tular keluhan dan permohonan maaf kakitangan perubatan sebuah hospital di Kedah kerana pesakit terpaksa menunggu lama.
PETALING JAYA:
Kerajaan digesa tidak memandang ringan isu kekurangan petugas kesihatan susulan tular keluhan kakitangan itu yang memohon maaf kepada pesakit kerana perlu menunggu lama.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja di dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Adnan Mat, berkata ia membabitkan isu kebajikan petugas kesihatan serta kemampuan fasiliti kesihatan negara dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Cuepacs tidak mahu isu kebajikan petugas kesihatan ini diabaikan dalam memastikan perkhidmatan kesihatan berjalan seperti biasa.

“Mereka ini tetap manusia yang memerlukan rehat mencukupi, melakukan aktiviti sosial yang sihat dan mempunyai keluarga yang perlu diberi perhatian juga,” katanya dalam kenyataan.

Baru-baru ini tular keluhan kakitangan sebuah hospital di Kedah yang memaklumkan pesakit bahawa berlaku kekurangan doktor dan memohon maaf kerana mereka perlu menunggu lama.

Dalam luahan ditulis pada papan putih itu, mereka berkata pesakit kemungkinan perlu menunggu sehingga lima jam kerana doktor yang bertugas tidak cukup tangan.

Mengulas lanjut, Adnan berkata kerajaan wajar mengambil pengajaran ketika penularan Covid-19 yang hampir melumpuhkan sepenuhnya fasiliti kesihatan dan memperkukuhkan lagi mobilisasi sumber tenaga kerja di pelbagai peringkat.

Beliau turut menyarankan agar ketua jabatan menyelesaikan aduan kakitangan dalam usaha mengatasi kekurangan petugas kesihatan dan menyalurkan isu kepada Kementerian Kesihatan (KKM) jika ia tidak dapat diatasi.

“Isu berkaitan kekurangan tenaga kerja, kemudahan asas di fasiliti bertugas tidak wajar dianggap remeh kerana ia memberi kesan yang tidak baik kepada keseluruhan perkhidmatan kesihatan negara,” katanya.

Beliau turut berharap, KKM tidak mengambil tindakan terhadap petugas kesihatan yang menulis keluhan itu.

“Perkara itu perlu ditangani dengan positif oleh KKM tanpa mengabaikan keluh kesah yang diutarakan demi memastikan kebajikan penjawat awam tetap diutamakan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.