Azalina harap kajian asing kuasa peguam negara, pendakwa raya selesai tahun ini

Azalina harap kajian asing kuasa peguam negara, pendakwa raya selesai tahun ini

Azalina Othman Said berkata selain itu pengasingan kuasa memerlukan sekitar 19 undang-undang sedia dan Perlembagaan Persekutuan dipinda.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said berkata kajian mendalam melibatkan negeri dan perbandingan dalam negara dijangka dilaksana tahun depan.
PETALING JAYA:
Kajian empirikal pengasingan kuasa peguam negara dan pendakwa raya diharap selesai tahun ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said.

Katanya, selain itu kira-kira 19 undang-undang sedia ada dan Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda bagi melaksanakan pengasingan kuasa itu.

Beliau berkata, kajian empirikal telah dilakukan di Kanada awal bulan ini dan dijangka diteruskan di Australia pada Jun sebelum berakhir di United Kingdom, dengan kerjasama beberapa universiti.

“Kajian lebih mendalam dari segi negeri-negeri, perbandingan dalam negara Malaysia mungkin tahun 2025 sebab janji kami kepada Parlimen dua tahun…bagi mendapatkan laporan untuk diberikan kepada mesyuarat Jemaah Menteri untuk membuat penilaian,” katanya menurut Bernama ketika diminta mengulas perkembangan kajian itu selepas melakukan lawatan kerja ke Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu.

Pada 8 Mei, Azalina mengetuai delegasi Malaysia menjalankan kajian itu di Ottawa bagi mengenal pasti model yang sesuai untuk negara selain inisiatif untuk mendapatkan keterangan secara terus dan sebagai rujukan amalan terbaik.

Pada Ogos 2023, beliau memaklumkan kerajaan akan menjalankan kajian empirikal komprehensif dalam tempoh setahun sebelum memuktamadkan cadangan pengasingan kuasa peguam negara dan pendakwa raya.

Terdahulu, beliau melawat Muzium Kehakiman di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu dan meninjau kerosakan kubah di premis itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.