
Pertuduhan terhadap M Preemraj dan Nor Rahman Sadik, masing-masing berusia 25 tahun, dibacakan di hadapan Hakim Hamidah Mohamed Deril.
Mereka didakwa bersubahat bersama suspek yang masih bebas membaling empat botol yang dinyalakan dengan api ke arah pintu depan pusat hiburan di Jalan Yap Kwan Seng, pada 2.17 pagi, 9 Mei, sehingga menyebabkan kerugian RM3,000.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 435 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Muhairi Mohamed Noh menawarkan jaminan RM15,000 kepada setiap tertuduh dengan seorang penjamin, serta syarat tambahan perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan sebulan sekali sehingga kes selesai.
M V Yoges selaku peguam mewakili kedua-dua tertuduh memohon jaminan rendah dengan alasan Preemraj menghidap penyakit sawan, selain mengalami kesukaran berjalan akibat terbabit dalam kemalangan tahun lalu; manakala isteri Nor Rahman kini dalam tempoh berpantang kerana baru melahirkan anak.
Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM5,000 setiap seorang dengan seorang penjamin serta syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan selain menetapkan 21 Jun ini untuk sebutan semula kes.