PN ‘jaring gol sendiri’ bantu DAP kekal sokongan Cina, kata penganalisis

PN ‘jaring gol sendiri’ bantu DAP kekal sokongan Cina, kata penganalisis

Penganalisis politik Wong Chin Huat berkata, PN sendiri cenderung menunjukkan dirinya ‘jahat’.

Pang Sock Tao
Tindakan PAS ‘menyerang’ latar belakang pendidikan vernakular calon DAP mewakili kerajaan perpaduan, Pang Sock Tao tidak diterima baik oleh pengundi Cina di Kuala Kubu Baharu, menurut Wong Chin Huat.
PETALING JAYA:
Penganalisis menyangkal dakwaan bahawa DAP mengekalkan sokongan Cina di Kuala Kubu Baharu pada PRK Sabtu lepas dengan menyebar ketakutan, menegaskan bahawa tindakan Perikatan Nasional (PN) sendiri yang boleh dipersoalkan menyebabkan mereka kehilangan undi bukan Melayu yang penting.

Wong Chin Huat daripada Universiti Sunway berkata, PN cenderung ‘menunjukkan diri sendiri jahat’, seperti menerusi tindakan Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari yang cuba ‘menyerang’ calon DAP Pang Sock Tao sebelum pilihan raya itu berlangsung.

“PAS ‘jaring gol sendiri’ untuk PN dengan menyerang latar belakang pendidikan Cina calon DAP itu. Ini sama (memudaratkan) seperti seorang yang bukan Melayu cuba meraih sokongan Melayu tetapi menyerang Islam,” katanya kepada FMT.

Minggu lepas, Presiden MCA Wee Ka Siong berkata, pengundi Cina sudah mula hilang kepercayaan terhadap DAP tetapi ‘ditakut-takutkan’ untuk menyokong parti itu pada PRK 11 Mei lepas.

Wee berkata, tindakan DAP yang memburuk-burukkan PN, khususnya PAS, mendorong masyarakat Cina terus menyokong Pakatan Harapan (PH) walaupun ragu-ragu dengan keupayaan gabungan itu melaksanakan pembaharuan yang dijanjikan.

Wong mengakui, kelemahan DAP melemahkan semangat dalam kalangan pengundi Cina.

“Ini dapat dilihat menerusi peratusan keluar mengundi yang lebih rendah (pada PRK Kuala Kubu Baharu), berbanding PRN lepas,” katanya.

“Peratusan keluar mengundi kurang lebih 3,000 undi, dengan PH kehilangan 862 undi, walaupun berjaya meraih undi Melayu.”

Wong bersetuju bahawa DAP kehilangan sedikit sokongan kaum Cina selain sebahagian besar undi kaum India. Trend itu, katanya, mungkin akan berterusan melainkan parti itu kembali kepada prinsipnya.

Pang memenangi PRK Kuala Kubu Baharu pada Sabtu lepas dengan majoriti 3,869 undi. Beliau memperoleh 14,000 undi, menewaskan calon PN Khairul Azhari Saut (10,131), serta calon Parti Rakyat Malaysia Hafizah Zainuddin (152) dan calon bebas Nyau Ke Xin (188), yang kedua-duanya hilang deposit.

Peratusan keluar mengundi akhir ialah 61.5%, lebih rendah daripada 69.25% yang dicatatkan di kawasan DUN itu pada pada PRN Ogos lepas.

Sementara itu, Oh Ei Sun daripada Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, pengundi Cina takut dengan agenda “theocratisation” PAS, selain apa yang mereka lihat terjadi di negeri pimpinan PN.

“Fokus berterusan PAS terhadap hukum hudud, serta denda yang dikenakan bagi cara berpakaian tertentu di Kelantan, menyumbang kepada ketakutan masyarakat terhadap PN,” katanya.

Beliau berkata, ketakutan itu mendorong mereka mengekalkan sokongan terhadap DAP.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.