Penahanan Sosma: 2 pegawai polis fail habeas corpus

Penahanan Sosma: 2 pegawai polis fail habeas corpus

Polis menyiasat mereka berhubung dakwaan hubungan dengan kumpulan jenayah terancang, walaupun pada awalnya ditangkap kerana disyaki terlibat dengan pemerasan.

mahkamah kuala lumpur
Peguamcara bagi Chin Khiam Kong dan Zabrina Zabidi memfailkan kertas kausa di mahkamah semalam.
KUALA LUMPUR:
Dua pegawai polis, termasuk seorang pegawai kanan, memfailkan permohonan habeas corpus dalam usaha agar dapat dibebaskan, atas alasan penangkapan dan penahanan mereka di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) atau Sosma adalah tidak sah.

Peguam mereka, Jacky Loi, berkata polis sedang menyiasat mereka berhubung dakwaan hubungan dengan kumpulan jenayah terancang, walaupun pada awalnya mereka ditangkap kerana disyaki terlibat dengan pemerasan.

Pegawai kanan, Chin Khiam Kong, dan sarjan, Zabrina Zabidi, memfailkan kerta kausa mereka di pendaftar Mahkamah Tinggi menerusi peguamcara, Tetuan TY Teh, semalam.

Permohonan mereka dijadualkan untuk pendengaran esok.

Mereka menamakan pegawai penyiasat, Rasha Aswadi Shafii, ketua polis negara, dan kerajaan sebagai responden.

Mereka berkata penahanan mereka adalah tanpa asas, merupakan penyalahgunaan proses, dan dilakukan dengan niat jahat.

Kedua-dua pegawai polis itu, daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, dikatakan ditangkap untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan, berhubung dakwaan memeras seorang ahli perniagaan warga China.

Chin ditangkap pada 3 Mei dan penyiasat perolehi reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.

Bagaimanapun, enam hari kemudian dia ditangkap di bawah Sosma yang membolehkan polis menahan seorang suspek sehingga 28 hari tanpa perintah reman daripada majistret.

Dalam afidavit menyokong permohonannya, Chin berkata dia sekarang disiasat kerana didakwa menganggotai suatu kumpulan jenayah terancang, suatu kesalahan mengikut Seksyen 130V Kanun Keseksaan.

Peruntukan itu terletak di bawah Bab 6B kanun sama maka ia dikelaskan sebagai kesalahan keselamatan, lantas membolehkan polis menggunakan Sosma untuk melengkapkan siasatan.

Zabrina juga ditangkap bawah dalam keadaan sama.

Loi berkata kertas kausa sudah diserahkan kepada pegawai penyiasat dan Jabatan Peguam Negara.

Dua minggu lalu, KPN Razarudin Husain berkata tiga pegawai kanan daripada JSJK Bukit Aman ditahan bagi membantu siasatan kes pemerasan melibatkan RM1.25 juta.

Katanya, pegawai terbabit berpangkat asisten komisioner, superintenden, dan inspektor, serta berusia antara 38 hingga 50 tahun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.