Orang muda guna vape makin ramai, KKM kuat kuasa Akta 852 Jun

Orang muda guna vape makin ramai, KKM kuat kuasa Akta 852 Jun

Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata pengguna vape membabitkan golongan muda membimbangkan.

vaping vape
Dapatan GATS 2023 menunjukkan prevalens pengguna rokok elektronik dalam kalangan perokok berusia 15 hingga 24 tahun meningkat kepada 8.6% pada 2023 berbanding 1.1% pada 2011.
PUTRAJAYA:
Kementerian Kesihatan akan menguatkuasakan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam (Akta 852) sepenuhnya pada Jun depan sebagai langkah menangani peningkatan penggunaan rokok elektronik membabitkan golongan muda.

Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad, berkata berdasarkan dapatan Global Adult Tobacco Survey (GATS) 2023, penggunaan rokok elektronik atau vape membabitkan golongan muda membimbangkan dan memerlukan tindakan pantas serta tuntas.

“Penguatkuasaan Akta 852 ini berserta peraturan dan perintahnya, insya-Allah akan kita laksanakan bermula Jun 2024 sebagai respons kepada peningkatan vape, sebab dalam akta kawalan produk merokok ia juga akta kawalan vape.

“Kita harapkan dengan perintah dan peraturan kita akan dapat tangani peningkatan rokok elektronik atau vape dalam kalangan orang muda ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan hasil penyelidikan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023: Penyakit Tidak Berjangkit dan Permintaan Penjagaan Kesihatan dan GATS 2023.

GATS 2023 diterbitkan Institut Kesihatan Umum, Kementerian Kesihatan (KKM) dengan kerjasama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat.

Dapatan utama GATS 2023 memaklumkan, prevalens pengguna rokok elektronik semasa meningkat secara drastik daripada 0.8% pada 2011 kepada 5.8% pada 2023.

Prevalens pengguna rokok elektronik dalam kalangan perokok berusia 15 hingga 24 tahun meningkat kepada 8.6% pada 2023 berbanding 1.1% pada 2011.

GATS 2023 turut mendedahkan prevalens dwipengguna iaitu tembakau dan rokok elektronik meningkat daripada 0.8% pada 2011 kepada 3.9% pada 2023.

“Ramai pengguna rokok elektronik adalah daripada kumpulan usia yang lebih muda. Tiga alasan utama penggunaan rokok elektronik adalah tersedia dalam perisa digemari.

“Alasan lain adalah persepsi bahawa kurang memudaratkan berbanding menghisap rokok selain ia mudah dinikmati,” demikian menurut GATS 2023.

Menurut laporan tersebut, seramai 4.8 juta atau 19.0% orang dewasa di Malaysia adalah perokok tembakau, manakala 3.7 orang dewasa merokok setiap hari.

“Purata perbelanjaan rokok setiap bulan adalah RM178 bagi kategori nasional, RM195 untuk bandar dan RM136.3 untuk luar bandar,” menurut GATS 2023.

GATS 2023 turut mendedahkan sebanyak 9.0% perokok tembakau dewasa merancang untuk berhenti merokok dalam masa sebulan, manakala 13.0% merancang berhenti dalam masa 12 bulan.

“Sebanyak 37.0% merancang untuk berhenti merokok suatu hari nanti. Bagaimanapun, 41.0% perokok tembakau dewasa tidak merancang berhenti merokok,” menurut laporan itu.

Pengumpulan data GATS 2023 dijalankan pada Jun dan Julai 2023 di seluruh negeri dan Wilayah Persekutuan melibatkan 5,780 isi rumah yang terpilih secara rawak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.