
Perkara itu disahkan peguam pemerhati keluarga mangsa Wan Azmir Wan Majid kepada FMT.
“Ya…mereka (tertuduh) meminta jamin. Sebutan adalah pada 1 Julai untuk pihak-pihak mengemukakan afidavit dan hujahan secara lengkap,” katanya ketika dihubungi.
Terdahulu, kakak mangsa dalam satu hantaran di aplikasi X mendakwa pegawai berpangkat deputi superintendan itu memohon jaminan selepas mengaku tidak bersalah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamri, 17, ketika dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Ipoh pada 14 Mei lalu.
Mohd Nazri Abdul Razak, 45, dituduh melakukan kesalahan itu di Jalan Taman Jati 1, berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati, Meru, antara 11.45 pagi hingga 12.40 tengah hari, 15 Dis 2023.
Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara hingga 40 tahun, dan jika tidak dihukum mati hendaklah dihukum dengan tidak kurang 12 sebatan.
Mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan pada 4 hingga 8 dan 11 hingga 15 Nov, 2 hingga 6 dan 9 hingga 13 Dis serta 6 hingga 10 dan 13 hingga 17 Jan 2025.
Hakim Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet juga menetapkan 1 Julai ini sebagai sebutan semula kes untuk pihak pendakwaan dan pembelaan memfailkan afidavit masing-masing.