21 kelas lengkap perabot, hanya murid tambahan duduk atas lantai, kata exco

21 kelas lengkap perabot, hanya murid tambahan duduk atas lantai, kata exco

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Rahmad Mariman berkata masalah itu akan diselesaikan dalam masa terdekat.

akmal saleh fighter
Semalam, tular video Dr Akmal Saleh menegur pegawai JAIM supaya segera menyelesaikan isu kerusi dan meja di sebuah sekolah rendah agama di Jasin.
PETALING JAYA:
Pertambahan pelajar membawa kepada insiden murid di sebuah sekolah rendah agama di Jasin, Melaka duduk di atas lantai akibat kekurangan kerusi dan meja, kata exco negeri.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama, Rahmad Mariman berkata, sebaliknya 21 kelas lagi semuanya lengkap perabot.

Katanya, Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) sentiasa mengutamakan suasana selesa dan kondusif kepada pelajar sekolah agama bawah seliaan agensi itu.

“Sebagai makluman, murid yang ‘terpaksa’ duduk di lantai itu adalah murid yang ditempatkan di kelas tambahan yang baharu dibuka,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata demikian mengulas isu dibangkitkan berkait murid yang didakwa belajar di atas lantai tanpa kemudahan kerusi dan meja, baru-baru ini.

“Dalam masa terdekat perkara ini akan selesai, tender yang dikeluarkan membabitkan semua sekolah di Melaka bukan hanya untuk sekolah itu sahaja,” katanya yang juga Adun Molek.

Rahmad juga menafikan insiden murid duduk di atas lantai berlarutan sejak lima bulan lalu.

“Bukan lima bulan kerana sesi persekolahan bermula Mac. Kebajikan murid adalah keutamaan dan fokus kami selain menjadi tanggungjawab menyediakan suasana selesa serta kondusif,” katanya.

Sebelum ini, Adun Merlimau Dr Akmal Saleh menegur JAIM supaya segera menyelesaikan isu kerusi dan meja melibatkan murid terkesan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.