Selangor paling tinggi kes jenayah seksual

Selangor paling tinggi kes jenayah seksual

Statistik itu berdasarkan faktor populasi penduduk Selangor yang tinggi berbanding negeri lain.

Polis berkata B40 antara golongan tertinggi terlibat jenayah seksual berdasarkan statistik. (Gambar AFP)
PETALING JAYA:
Selangor mencatatkan kes jenayah seksual tertinggi dalam negara bagi tempoh tiga tahun.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Siti Kamsiah Hassan, berkata direkodkan termasuk cabul, sumbang mahram, luar tabii, pornografi kanak-kanak dan komunikasi secara seksual.

Katanya, statistik itu dicatat berdasarkan faktor populasi penduduk Selangor yang tinggi berbanding negeri lain.

“Kedudukan Selangor yang bersempadan dengan beberapa negeri misalnya Perak, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Pahang menjadi salah satu penyumbang kepada jenayah ini diikuti Johor.

“Capaian sistem jaringan internet yang mudah selain banyak kemudahan dari segi fasiliti dan kepadatan penduduk, selain faktor ekonomi mendorong peningkatan angka jenayah seksual,” katanya selepas sesi dialog bersama masyarakat di IPK Selangor, menurut Sinar Harian.

Beliau berkata, kebanyakan kes direkodkan melibatkan warga tempatan iaitu sebanyak 90% dan ada juga membabitkan warga asing.

“Misalnya kes cabul seperti di stesen minyak, pengangkutan awam melibatkan warga asing yang menetap di sini selain ada sesetengah kes berkaitan pelancong tapi dari segi peratusan tertinggi adalah warga tempatan,” katanya.

Siti Kamsiah berkata, kebanyakan pelaku jenayah seksual dikenali mangsa sama ada ahli keluarga, rakan dan orang diberikan amanah seperti guru.

“Bagaimanapun penjenayah seksual sukar diketahui menerusi rupa paras atau perwatakannya serta mudah menarik kepercayaan mangsa,” katanya.

Katanya, B40 antara golongan tertinggi terlibat jenayah seksual berdasarkan statistik direkodkan dalam tempoh berkenaan.

“Kita lihat secara keseluruhan disebabkan keadaan ekonomi golongan ini yang tidak stabil selain faktor tidak bekerja dan kurang pendidikan.

“Aspek ekonomi ini membawa kepada masalah tekanan perasaan dan memberi kesan dalam hubungan emosi dan kurangnya didikan dalam konteks keibubapaan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.