
Premier Sarawak, Abang Johari Openg berkata, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) semakin sesak menyebabkan kemudahan sedia ada tidak mampu menampung keperluan pertambahan penumpang.
“Trafik udara di Kuching sekarang semakin bertambah dan bangunan terminal sedia ada tidak mempunyai kemudahan mencukupi untuk menampung pertambahan penumpang,” katanya menurut Harian Metro di lobi Dewan Undangan Negeri.
“Sebab itu, sudah sampai masanya kita membangunkan lapangan terbang baharu, tambahan pula kita menetapkan matlamat menjadikan Kuching sebagai hab penerbangan, bukan sahaja untuk penumpang, tetapi juga untuk hab kargo kerana kita juga sudah ada hab pelabuhan.”
Beliau berkata, lokasi lapangan terbang baharu itu sudah dikenal pasti dan akan diumumkan dalam masa terdekat.
Berhubung dana projek itu, katanya, kerajaan Sarawak akan berbincang dengan Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) jika ia mahu menjadi rakan kongsi membangunkan projek berkenaan.