
Peguam SN Nair yang mewakili trio DAP itu berkata, semua pihak gagal mencapai penyelesaian berhubung saman fitnah yang difailkan terhadap Ahli Parlimen Kepala Batas itu.
“Tiada perjanjian dicapai, kita akan teruskan dengan perbicaraan,” kata Nair kepada FMT.
Perbicaraan saman itu dijadualkan berlangsung selama enam hari di Mahkamah Tinggi pada September ini.
Sebelum ini, Hakim Quay Chew Soon menasihat semua pihak berunding pada hari ini menjelang perbicaraan itu.
Kit Siang dan Guan Eng, yang juga pengerusi DAP memfailkan saman di Mahkamah Tinggi pada November tahun lalu terhadap Siti Mastura kerana dakwaan mereka mempunyai pertalian darah dengan pemimpin Parti Komunis Malaya Chin Peng dan bekas perdana menteri Singapura Lee Kuan Yew.
Siti Mastura didakwa membuat kenyataan dalam ucapannya di Kemaman, Terengganu pada 4 Nov.
Ahli Parlimen Kepala Batas dalam pembelaannya berkata, fakta terbabit diperoleh daripada bahan kempen Barisan Nasional (BN) dalam buku terbitan Jabatan Komunikasi gabungan itu (BNCOMMS).
Beliau turut memetik sumber ‘boleh dipercayai’ sama atas dakwaannya berhubung Kit Siang dan anaknya, Guan Eng, adalah sepupu kepada Lee manakala Kok yang juga Ahli Parlimen Seputeh ialah sepupu Betty Chew, isteri Guan Eng.
Dalam maklum balas terhadap pembelaan itu, Kit Siang, Guan Eng dan Kok berkata ‘bahan kempen itu sudah dinafikan Timbalan Pengerusi BN Mohamad Hasan dan bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Isham Jalil’ dalam satu laporan media bertarikh 11 Nov 2023.