PN ‘terjerat’, undi Umno beralih kepada PH, kata pemimpin

PN ‘terjerat’, undi Umno beralih kepada PH, kata pemimpin

Seorang ahli Majlis Tertinggi PN berkata, pembangkang ‘terlebih yakin’ mendapat sokongan akar umbi Umno di Kuala Kubu Baharu.

Pada PRK Kuala Kubu Baharu 11 Mei lepas, calon PN Khairul Azhari Saut tewas kepada calon DAP mewakili kerajaan perpaduan Pang Sock Tao, yang menang dengan majoriti 3,869 undi.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Perikatan Nasional (PN) mengakui gabungan pembangkang itu ‘terjerat’ akibat peralihan pengundi Umno memilih DAP pada PRK Kuala Kubu Baharu baru-baru ini.

Bagaimanapun, ahli Majlis Tertinggi PN itu berkata, beliau tidak percaya keputusan pilihan raya itu menunjukkan perubahan sentimen menyeluruh dalam kalangan akar umbi Umno itu terhadap bekas seterunya itu.

Pemimpin PN yang enggan dikenali itu berkata, gabungan berkenaan memandang remeh perseteruan antara Umno dan DAP, dan ‘terlebih yakin’ mendapat undian ahli serta penyokong Umno.

“Kami tidak banyak berusaha dari segi ahli Umno kerana anggap mereka akan pilih kami disebabkan rasa tidak puas hati dengan kerajaan perpaduan, khususnya DAP,” kata pemimpin PN itu kepada FMT.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi tahun lepas berkata, ahli parti masih sukar menerima DAP sebagai rakan dalam kerajaan perpaduan.

Dalam kajian diterbitkan bekas Ahli Parlimen DAP Ong Kian Ming bulan lepas, empat daripada lima pengundi Melayu yang sebelum ini menyokong Barisan Nasional (BN) di kerusi yang turut ditandingi DAP didapati mengundi PN pada PRN.

Pemimpin PN itu berkata, ahli Umno yang ditemui ‘pada saat akhir’ memaklumkan akan menyokong kerajaan perpaduan pada masa ini.

“Mereka memaklumkan, ada ‘perjanjian’ untuk mereka mengundi kerajaan perpaduan,” katanya, tanpa mengulas lebih lanjut.

Pemimpin PN itu berkata, menjelang PRK 11 Mei lalu, Umno fokus terhadap memastikan kira-kira 4,000 ahli mereka di Kuala Kubu Baharu mengundi kerajaan perpaduan.

Bagaimanapun, sumber itu berkata, peralihan undi Umno kepada Pakatan Harapan (PH) tidak bererti ahli parti semakin menerima DAP.

“Saya rasa mereka menuntut lebih banyak kompromi daripada kerajaan perpaduan.”

Beliau mengakui gabungannya tidak begitu berjaya memaut hati pengundi Cina di kawasan itu, sebaliknya meraih sokongan lebih kukuh daripada masyarakat India.

Kuala Kubu Baharu adalah kerusi campuran dengan bilangan pengundi Melayu serta bukan Melayu sama rata.

“Hampir 90% pengundi Cina menyokong kerajaan perpaduan, tetapi kami berjaya meraih 31% undi masyarakat India. ‘Boikot’ (kerajaan perpaduan) oleh pengundi India memanfaatkan (PN),” kata pemimpin itu.

Pada 19 April, parti berasaskan masyarakat India, Urimai menggesa pengundi India memboikot calon DAP Pang Sock Tao pada pilihan raya berkenaan disebabkan rasa tidak puas hati dengan layanan kerajaan perpaduan.

Pada masa sama, Ong berkata, keputusan PN meletakkan calon Melayu ‘pada asasnya, menyerahkan undi Cina kepada kerajaan perpaduan’.

Pada PRK Sabtu lalu, Pang menang dengan majoriti 3,869 undian mengatasi lawan terdekatnya, calon PN Khairul Azhari Saut. Beliau memperoleh 14,000 undi, manakala Khairul 10,131.

Calon bebas Nyau Ke Xin dan Hafizah Zainuddin daripada Parti Rakyat Malaysia pula hilang deposit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.